Dividen BIBD meningkat

Dividen BIBD meningkat

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), petang tadi, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan 2016 di Dewan Tarindak, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan.

Turut hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2016 itu ialah Menteri Pembangunan yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah.

Pada mesyuarat tersebut, BIBD membentangkan laporan tahunan 2015 yang menunjukkan mereka memperolehi dividen tertinggi sebanyak 7.3 sen, meningkat 28 peratus berbanding dividen tahun lepas.

Ini menunjukkan komitmen BIBD untuk memberikan pulangan yang lebih baik kepada pemegang sahamnya, menurut kenyataan yang dikeluarkannya.

BIBD juga berkongsi pertumbuhan dua digit dari segi keuntungannya selepas zakat dan cukai yang menunjukkan bank berkenaan dapat mengatasi dan bertahan dalam ekonomi negara yang sangat mencabar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin (dua dari kiri) turut hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2016.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin (dua dari kiri) turut hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2016.

Mesyuarat tersebut juga meluluskan penyata kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan mengumumkan penetapan yuran juruaudit bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015.

Sebelum memulakan permesyuaratan, Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD telah melahirkan penghargaan kepada pemegang saham yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan mereka terhadap BIBD.

“Alhamdulillah, dengan prestasi yang memberangsangkan, BIBD telah dapat menyediakan peningkatan dividen kepada para pemegang saham.”

Yang Berhormat Dato menambah bahawa BIBD juga telah meningkatkan sumbangannya kepada pembangunan ekonomi dan kewangan Islam yang berinovatif untuk membangunkan ekonomi sejajar dengan wawasan 2035.

Dalam hal ini, Lembaga dan Pengurusan BIBD juga amat komited dalam mengukuhkan kebolehan dan prestasi BIBD sebagai simbol perbankan Islam di negara ini, sejajar dengan kepentingannya dalam industri perbankan Brunei.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah ahli-ahli Lembaga dan Pengurusan BIBD, Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof ; ahli-ahli Badan Penasihat Syariah BIBD berserta pegawai-pegawai dan kakitangan BIBD.

ARTIKEL YANG SAMA