Djokovic, Azarenka, Kerber terus mara

Djokovic, Azarenka, Kerber terus mara

MIAMI, 31 Mac (AFP) – Pemain nombor satu dunia dan juara bertahan Novak Djokovic berjaya menahan kesakitan pada set kedua untuk mengalahkan Tomas Berdych 6-3, 6-3, sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Miami.

Djokovic yang cuba untuk menyamai rekod Andre Agassi dengan enam kejuaraan Miami dan tiga kali berturut-turut, akan berdepan pilihan ke-15 dari Belgium, David Goffin, esok untuk merebut slot ke final.

Pemain Serbia berusia 28 tahun itu memenangi perlawanan ke-14 berturut-turut pada kejohanan gelanggang keras dan yang ke-28 daripada 29, tetapi mengekalkan prestasi selepas mengalami sakit belakang bermula pada awal set kedua.

Keadaan itu sekali gus mendorong dia untuk mendapatkan rawatan urutan terapi sebelum meneruskan perlawanan keenam berkenaan.

“Saya mengalami sedikit kekejangan di bahagian belakang tetapi (pelatih) melakukan kerja yang hebat dan saya dapat menamatkan permainan.”

(Dari kiri) Djokovic, Kerber dan Azarenka bakal beraksi di separuh akhir Terbuka Miami. – AFP
(Dari kiri) Djokovic, Kerber dan Azarenka bakal beraksi di separuh akhir Terbuka Miami. – AFP

Sementara itu penyandang juara Terbuka Australia, Angelique Kerber mara ke separuh akhir ATP dan WTA Terbuka Miami selepas menewaskan pilihan ke-22 dari Amerika Syarikat, Madison Keys 6-3, 6-2.

Pemain pilihan kedua dari Jerman itu akan menentang juara dua kali Terbuka Australia, Victoria Azarenka pada pusingan separuh akhir esok selepas bekas pemain nombor satu dunia kelahiran Belarus itu menewaskan pemain pilihan ke-24, Johanna Konta 6-4, 6-2.

Azarenka menang 6-1 sepanjang pertemuan dengan Kerber, tetapi tewas pada perlawanan terbaru mereka di suku akhir Terbuka Australia.

“Saya tahu saya perlu mempamerkan permainan tenis terbaik apabila berlawan dengan dia (Azarenka),” kata Kerber.