Djokovic belum puas

Djokovic belum puas

LONDON, 13 Julai (AFP) – Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic melaungkan keyakinan lebih banyak kejuaraan Grand Slam akan dijulang selepas memenangi trofi ketiga Wimbledon yang juga gelaran Major kesembilan sepanjang kariernya, hari ini.

Selepas mengatasi jaguh Switzerland, Roger Federer buat tahun kedua berturut-turut di pentas final, pemain nombor satu dunia itu mengatasi rekod dipegang Andre Agassi, Jimmy Connors, Ivan Lendl, Fred Perry dan Ken Rosewall yang memiliki lapan gelaran Grand Slam.

Djokovic kini hanya ketinggalan lima gelaran di belakang Rafael Nadal dan Pete Sampras yang mempunyai 14 kejuaraan manakala rekod yang dipegang Federer, dengan 17 kemenangan dianggap masih jauh.

Begitupun, jika dibandingkan usia Djokovic yang baharu memasuki 28 tahun, peluangnya untuk mengatasi rekod dipegang Federer yang kini berumur 33 tahun, masih terbuka.

“Saya fikir tiada sebarang alasan untuk tidak berpuas hati dengan apa yang saya sudah capai. Jika kamu bertanya kepada saya pada 14 tahun lalu di Serbia ketika saya baharu mencari jalan, inilah yang akan saya jadi ketika berusia 28 tahun, saya terima,” katanya.

Serena dan Djokovic bergambar dengan trofi masing-masing semasa Majlis Makan Malam Bersama Juara di London semalam. – AFP
Serena dan Djokovic bergambar dengan trofi masing-masing semasa Majlis Makan Malam Bersama Juara di London semalam. – AFP

“Saya berusia 28 tahun. Saya berasa baik. Saya tidak berasa tua. Saya berharap memiliki lebih banyak masa di depan saya.

“Saya akan cuba untuk terus berusaha hingga tahap terakhir dan melihat sejauh mana ia mampu pergi memburu gelaran dan keadaan saya bermain di pentas tertinggi,” katanya.

Lapan daripada sembilan gelaran Grand Slam dimenangi Djokovic diraihnya sejak Januari 2011. Begitupun, sepanjang tempoh itu, dia turut dikecewakan dengan lapan kekalahan di pentas final Grand Slam dengan tiga daripadanya di Terbuka Perancis dalam tempoh empat tahun.

“Ada beberapa kejuaraan final Grand Slam yang saya fikir saya tidak boleh menang. Namun sekali lagi, segala-gala yang berlaku ada alasannya.

“Saya cuba untuk belajar dari semua pengalaman, terutama sesuatu yang tidak berakhir dengan kemenangan kepada saya. Saya akan terus berusaha,” katanya.

Kemenangan di Wimbledon juga menyaksikan Djokovic sudah mengumpul enam kejuaraan pada 2015 termasuk Terbuka Australia, empat gelaran Masters di Indian Wells, Miami, Monte Carlo dan Rom.

Rekod permainannya juga jelas menakjubkan dengan 51 perlawanan, Djokovic mencatat 48 kemenangan dengan tiga tewas termasuk kepada Stan Wawrinka di Terbuka Perancis.

ARTIKEL YANG SAMA