Djokovic Benam Federer

Djokovic Benam Federer

MELBOURNE, 28 Jan – Juara bertahan Novak Djokovic berjaya menepis cabaran Roger Federer dengan hanya melepaskan satu set apabila menang 6-1, 6-2, 3-6, 6-3 pada perlawanan separuh akhir Terbuka Australia hari ini.

Apabila Djokovic dengan mudah sahaja memenangi dua set dalam masa kurang sejam, dia kelihatan seperti akan memalukan Federer dengan hanya memenangi tiga set, namun pada set ketiga Federer mula bangkit yang membuatkan pemerhati bersorak atas aksinya yang dilangsungkan di Arena Rod Laver itu.

Bagaimanapun, Djokovic mula menunjukkan siapa pemain nombor satu sebenarnya apabila mematahkan servis Federer pada permainan kelapan dan seterusnya menyudahkan perlawanan dalam masa dua jam 19 minit.

Pemain nombor satu dunia itu akan membida untuk memenangi gelaran keenam di Melbourne Park pada era profesional, dan akan membuat pertemuan sama ada Andy Murray atau pemain pilihan ke-13 Milos Raonic yang akan bermain pada peringkat separuh akhir kedua esok.

Ia merupakan pertemuan ke-45 di antara Djokovic dan Federer dan kini buat pertama kali Djokovic berada di depan Federer dengan rekod 23-22.

Djokovic menang ke atas Federer dalam aksi persaingan ke-45 mereka kelmarin. – Reuters
Djokovic menang ke atas Federer dalam aksi persaingan ke-45 mereka kelmarin. – Reuters

Pemain dari Serbia itu meneruskan dominasinya terhadap pemenang 17 kali Grand Slam itu dan Ahad ini, dia akan menjadi pemain lelaki pertama pada era Terbuka untuk bersaing dalam enam perlawanan akhir Terbuka Australia.

“Saya bermain di luar jangkaan pada dua set pertama dan itulah sewajarnya apabila menentang Roger memandangkan dia bermain dengan tahap yang tinggi pada kejohanan ini.

“Saya tahu dia akan begitu agresif dan mencampurkan gerakan dan cuba untuk bergerak ke jaring, namun saya membalas dengan intensiti yang betul dengan penumpuan jitu dan melakukan semuanya dengan sempurna.

“Namun ia perjuangan hingga ke akhir.” Ia juga akan menjadi perlawanan akhir Grand Slam ke-19 secara keseluruhan buat Djokovic dan kini setara dengan rekod Ivan Lendl di tempat ketiga dalam penampilan terbanyak dalam perlawanan akhir grand slam, yang diterajui oleh Federer. – AFP