Djokovic cecah AS$100 juta

Djokovic cecah AS$100 juta

PARIS, 1 Jun – Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic menjadi pemain tenis pertama untuk mencecah kutipan wang hadiah AS$100 juta apabila dia mara ke peringkat suku akhir Terbuka Perancis buat kali ke-10, hari ini.

Pemain Serbia berusia 29 tahun itu memulakan kejohanan dengan AS$99,673,404 dalam simpanan dan 294,000 euro (AS$328,303) yang diraihnya apabila menewaskan pemain Sepanyol Roberto Bautista Agut membawanya memintas angka tersebut.

Pemain pilihan utama Djokovic menewaskan pemain pilihan ke-14 dari Sepanyol itu 3-6, 6-4, 6-1, 7-5 untuk mara ke suku akhir ke-28 berturut-turut dalam kejohanan Grand Slam dan 36 secara keseluruhan.

Dia seterusnya akan menentang pilihan ketujuh dari Czech, Tomas Berdych yang menewaskan pilihan ke-11 dari Sepanyol David Ferrer 6-3, 7-5, 6-3 bagi menempah tempat di separuh akhir.

Djokovic, yang memburu gelaran Terbuka Perancis pertamanya untuk melengkapkan keempat-empat Grand Slam, berada pada mata 4-1 di set ketiga apabila perlawanan itu dihentikan akibat hujan semalam.

Novak Djokovic menjemput salah seorang sukarelawan muda kejohanan itu untuk bersama-sama meraikan kemenangan bersamanya. – AFP
Novak Djokovic menjemput salah seorang sukarelawan muda kejohanan itu untuk bersama-sama meraikan kemenangan bersamanya. – AFP

Pemain Serbia itu kemudian dengan cepat menyudahkan dua permainan seterusnya hari ini dan meski berada di belakang 2-4 di set keempat, dia kemudian kembali menemui rentaknya untuk memenangi perlawanan tersebut pada mata penamat kedua.

“Bersama pasukan jurulatih saya, kami mengadakan beberapa rundingan yang sukar pada malam Selasa,” kata Djokovic, yang telah bergelut dengan keadaan sukar pada hari kebelakangan apabila tidak seperti biasa menjatuhkan servis sebanyak lima kali.

“Namun saya kembali menemui rentak saya hari ini dengan lebih intensiti meskipun ia merupakan pertempuran yang sukar dari segi mental dan fizikal.”

Roger Federer, yang menarik diri daripada kejohanan Roland Garros disebabkan kecederaan, telah mengumpul wang hadiah AS$98,011,727 dan di kedudukan kedua sepanjang masa di belakang Djokovic. – AFP