Djokovic cipta rekod juara kelima

Djokovic cipta rekod juara kelima

INDIAN WELLS, 21 Mac (AFP) – Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menjuarai tenis Masters ATP Indian Wells, awal pagi tadi selepas menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic 6-2, 6-0 sekali gus mencipta rekod merangkul gelaran kelima secara keseluruhan.

Ia kemenangan ketiga berturut-turut buat Djokovic sejak 2014 yang menghadiahkan gelaran ke-62 sepanjang kariernya selain melebarkan rentetan kemenangan dalam siri gabungan Jelajah ATP dan WTA itu kepada 17 berturut-turut.

“Untuk memenangi kejohanan ini sebanyak lima kali adalah kejayaan yang menakjubkan,” kata Djokovic.

“Saya lega saya mampu untuk meningkatkan tahap permainan saya ketika kejohanan ini berjalan, dan ia adalah sesuatu yang saya lakukan sejak dua tahun lalu terutama pada kejohanan besar.”

Selain tahun ini, bintang tenis kelahiran Serbia itu turut menjuarai gelaran sama pada 2008, 2011 serta 2014 dan 2015.

Djokovic memegang piala kemenangan selepas berjaya menewaskan Milos 6-2, 6-0, sekali gus mencipta rekod merangkul gelaran kelima secara keseluruhan. – AFP
Djokovic memegang piala kemenangan selepas berjaya menewaskan Milos 6-2, 6-0, sekali gus mencipta rekod merangkul gelaran kelima secara keseluruhan. – AFP

Bagi Djokovic, kemenangan ke atas Raonic diharap mampu meningkatkan peluangnya untuk menjuarai gelaran pertama Grand Slam Terbuka Perancis yang dijadualkan dua bulan lagi yang bakal melengkapkan gelaran Grand Slam dalam kariernya.

“Roland Garros akan menjadi keutamaan saya pada musim ini,” kata Djokovic.

“Saya pernah merasakan yang saya sudah semakin hampir dan hampir untuk memenanginya sejak beberapa tahun lalu.

“Saya tidak akan membuat begitu banyak perubahan dari sudut persiapan untuk kejohanan ini,” kata Djokovic sambil menggambarkan prestasinya di Indian Wells sebagai antara prestasi terbaiknya,” kata pemain berusia 28 tahun itu.

Kekalahan tunggal Djokovic yang turut memenangi Grand Slam pertama pada tahun ini ialah di Dubai kepada Feliciano Lopez, lawan sama yang ditewaskan di pusingan empat di Indian Wells.

Dalam pada itu, kekalahan Raonic yang dianggap antara bintang yang mampu menyerlah di masa depan turut disebabkan masalah kecederaan yang dialaminya.

“Saya hanya berharap ia tidak berkaitan dengan masalah yang pernah saya hadapi sebelum ini,” kata Raonic, 25 yang mengakui gerakannya sedikit terencat ketika bertemu Djokovic.