Djokovic, Federer bakal berentap

Djokovic, Federer bakal berentap

MELBOURNE, 26 Jan – Juara bertahan Novak Djokovic memberi amaran kepada pesaing-pesaing Terbuka Australia hari ini selepas kemenangan meyakinkan 6-3, 6-2, 6-4 ke atas pemain pilihan ketujuh Kei Nishikori untuk berdepan dengan Roger Federer di peringkat separuh akhir.

Pemain nombor satu dunia itu jauh daripada permainan terbaiknya dan bergelut dengan servisnya sendiri, namun berjaya mengekang lawannya dari Jepun itu atas kesilapan sendiri apabila melakukan unforced error sebanyak 54 kali di Arena Rod Laver.

Nishikori mematahkan servis Djokovic dua kali pada set ketiga dan berada di depan 3-1 namun tidak berjaya mempertahankan servisnya yang kemudian menghentak raketnya menunjukkan kekecewaan yang jarang sekali dilakukannya.

Djokovic membuat pukulan winner backhand untuk menyudahkan perlawanan dan akan membuat penampilan keenam dalam empat terakhir di Melbourne Park, menebus balik kekalahan kepada Nishikori pada peringkat separuh akhir Terbuka AS 2014.

Terdahulu, Roger Federer menewaskan Tomas Berdych 7-6(7/4), 6-2, 6-4 dalam masa dua jam 16 minit.

Novak Djokovic dan Roger Federer bakal berentap di pusingan separuh akhir Terbuka Australia setelah kedua-duanya berjaya menewaskan lawan masing-masing kelmarin. – Reuters
Novak Djokovic dan Roger Federer bakal berentap di pusingan separuh akhir Terbuka Australia setelah kedua-duanya berjaya menewaskan lawan masing-masing kelmarin. – Reuters

Federer sekarang ini sudah mara ke separuh akhir buat kali 36 secara keseluruhan di saingan Grand Slam dalam memburu gelaran Terbuka Australia ke-5, pada usia 34 tahun.

Pemain nombor tiga dunia itu meningkatkan rekod kerjayanya 16-6 ke atas Tomas Berdych dan menghalang penampilan separuh akhir ketiga berturut-turut lawannya.

Ia permainan yang mantap dihasilkan oleh Federer, yang mematahkan servis Berdych lima kali dan hanya melepaskan servisnya dua kali kepada pihak lawan yang disaksikan oleh legenda tenis Rod Laver di Arena Rod Laver.

“Tomas telah memberikan saya banyak masalah sejak beberapa tahun ini dan saya gembira dapat bermain dengannya,” ujar Federer.

“Dia merupakan antara pemain yang membuatkan anda bermain lebih baik, dia pernah menewaskan saya di saingan besar di seluruh dunia.

“Saya bermain perlawanan yang baik, Saya begitu agresif, memainkan pelbagai corak permainan dan ia keadaan yang amat pantas pada sesi siang. Saya begitu gembira dapat bermain secara ini.”

Federer mempunyai rekod perlawanan seri 22-22 dengan Djokovic dan sudah tentu perlawanan ini adalah yang sangat dinantikan oleh peminat tenis seluruh dunia. – AFP