Djokovic hanya perlu 51 minit

Djokovic hanya perlu 51 minit

DOHA, 5 Jan (Agensi) – Novak Djokovic membuka tirai musim ini dengan penuh bergaya selepas hanya mengambil masa 51 minit menundukkan pemain kelayakan daripada Jerman, Dustin Brown 6-2, 6-2 pada pusingan pertama Terbuka Qatar bermula hari ini.

Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu tidak bermain pada perlawanan pertunjukan bulan lalu selepas mengharungi musim 2015 yang memenatkan selepas memenangi tiga kejuaraan utama selain mara ke perlawanan akhir bagi setiap kejohanan yang disertai.

Terbuka Qatar adalah satu-satunya kejohanan musim lalu yang menyaksikan Djokovic gagal ke perlawanan akhir selepas kecundang pada aksi suku akhir.

Musim lalu juga menyaksikan Djokovic berjaya merangkul 11 kejuaraan dan mencatat rekod peribadi 82-6.

Novak Djokovic dalam salah satu aksinya ketika perlawanan tersebut. – Reuters
Novak Djokovic dalam salah satu aksinya ketika perlawanan tersebut. – Reuters

“Jelas sekali anda tidak tahu anda akan bermula di blok mana. Saya menggunakan masa rehat sebaiknya dengan berlatih bagi memastikan saya sentiasa berada pada tahap terbaik dan kemenangan ini menjadi petanda yang baik buat saya,” katanya.

Sementara itu, pemain Sepanyol, Daniel Munoz De La Nava, mencipta kejutan selepas menyingkirkan pilihan kelima kejohanan, Feliciano Lopez 3-6, 7-6 (4), 7-5.

Pilihan ketujuh daripada Perancis, Jeremy Chardy, pula menyingkirkan pemain ‘wildcard’, Mubarak Shannan Zayid 6-1, 6-1.

ARTIKEL YANG SAMA