Djokovic nikmati musim terbaik

Djokovic nikmati musim terbaik

BEIJING, 4 Okt (AFP) – Novak Djokovic hari ini berkata dia tidak mempunyai sebarang penyesalan mengenai kekurangan satu gelaran Grand Slam dalam apa yang diterangkannya sebagai musim terbaiknya setakat ini, lebih baik daripada pencapaiannya pada 2011.

Serena Williams ditinggalkan berkecai apabila gagal memenangi kesemua empat gelaran utama, tetapi pemain tenis lelaki nombor satu dunia berkata, kalah pada Terbuka Perancis hanya merangsangnya untuk sesuatu yang lebih baik.

Djokovic berkata kekalahan terhadap Stan Wawrinka di Paris memberikannya rangsangan untuk memenangi Terbuka Wimbledon dan Amerika Syarikat, dan kematangan yang baru ditemui, membantunya untuk menikmati semua kejayaannya dengan lebih lagi.

“Memenangi tiga daripada empat gelaran Grand Slam dan bermain untuk satu lagi peringkat akhir bukanlah satu kekecewaan,” katanya pada Terbuka China. “Sebaliknya, ia adalah baik. Satu perlawanan lagi dan ia jadi sempurna.

“Entah bagaimana saya berasa kali ini lebih baik (dari 2011),” tambahnya. “Saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk menyesali apa yang telah terjadi tahun ini. Saya berasa perlawanan akhir Roland Garros sangat emosi, tapi ia berlaku atas sebab-sebab.

Djokovic ketika menentang Nadal dalam perlawanan pertunjukan di Thailand baru-baru ini. – AFP
Djokovic ketika menentang Nadal dalam perlawanan pertunjukan di Thailand baru-baru ini. – AFP

“Kerana saya kalah perlawanan itu, Saya berasa lebih dahaga untuk kembali semula dan bermain baik pada peringkat Grand Slam. Saya berasa ini merupakan sebahagian besar daripada kejayaan saya di Terbuka Wimbledon dan AS.

Djokovic juga memenangi tiga gelaran Grand Slam pada 2011 di samping 10 trofi, salah satu musim-musim terbaik era moden. Namun katanya, berkahwin dan menjadi seorang bapa tahun lepas menjadikan tahun ini lebih manis.

“Saya berasa lebih lengkap sebagai seorang insan dan juga pemain. Saya seorang bapa dan suami,” ujar Djokovic, yang memperoleh tujuh gelaran setakat ini tahun ini. Djokovic telah bekerjasama secara baik bersama Boris Becker sepanjang dua musim dan berkata selepas bersara, dia bercadang untuk mengikuti jejak mentornya dengan menjadi jurulatih kepada pemain-pemain di masa akan datang.

“Saya menganggap tenis sebahagian hidup saya, saya pasti akan berkecimpung dengan tenis dan akhirnya menjadi jurulatih seseorang satu hari nanti,” katanya.