Djokovic sasar 4 grand slam tahun ini

Djokovic sasar 4 grand slam tahun ini

LONDON, 22 Jun (AFP) – Selepas akhirnya berjaya memenangi Terbuka Perancis pertamanya, Novak Djokovic kini sedang memburu gelaran ketiga berturut-turut Wimbledon dalam usahanya mencipta sejarah merangkul semua empat gelaran Grand Slam dalam semusim.

Penguasaan jaguh nombor satu dunia berusia 29 tahun itu, yang muncul juara Wimbledon pada 2011, 2014 dan 2015, terhadap perebutan Grand Slam sukar digugat ketika ini. Kemenangannya ke atas Andy Murray di Paris menghadiahkan dia gelaran major ke-12, menyaksikan dia kini hanya kekurangan dua trofi berbanding Rafael Nadal dan lima di belakang pemegang rekod Roger Federer dengan 17.

Namun Nadal terlepas aksi Wimbledon tahun ini kerana kecederaan pergelangan tangannya, manakala pemenang tujuh kali di Kelab All England Federer pula tanpa gelaran major sejak empat tahun lalu dan terus dibayangi pretasi lamanya.

Pemain nombor dua dunia, Murray, juara Wimbledon 2013, kekal menjadi satu-satunya pencabar utama Djokovic namun rekod pertemuan di antara mereka tidak memihak kepada bintang British itu dengan rekod karier 10-24.

Gambar fail - Djokovic ketika memenangi kejohanan Wimbledon tahun lepas. – AFP
Gambar fail – Djokovic ketika memenangi kejohanan Wimbledon tahun lepas. – AFP

Djokovic tampil menang 13 daripada 15 pertemuan terakhir mereka dan tidak pernah tunduk kepada Murray sejak Wimbledon tiga tahun lalu.

Djokovic ketika ini memegang semua empat gelaran Grand Slam dan dia sedang menanam impian untuk muncul lelaki pertama sejak Rad Laver pada 1969 memenangi ke semuanya dalam semusim, sejarah yang pernah dicapai sebanyak tiga kali saja. “Saya tidak mahu berbunyi terlalu sombong, tetapi saya sentiasa fikir ia tidak mustahil untuk dicapai,” kata Djokovic, yang kelihatan tidak tertekan untuk turun beraksi di Wimbledon yang akan menyingkap tirainya, Isnin ini.

Sepanjang tempoh lapang menjalani latihan minggu ini, dia dilihat mengambil gambar sendiri sewaktu menggunakan sistem aliran transit di kota London, biarpun baharu saja muncul sebagai pemain tenis pertama berjaya mengumpul AS$100 juta hadiah kemenangan.

ARTIKEL YANG SAMA