Djokovic sedia berdamai

Djokovic sedia berdamai

MIAMI, 24 Mac (AFP) – Novak Djokovic mula menampakkan tanda ingin berdamai bersama Billie Jean King, Chris Evert, Serena Willians dan pemain lain dengan menyokong pemberian jumlah wang kemenangan yang sama untuk pemain tenis lelaki dan wanita.

Ia dinyatakan selepas mengharungi beberapa hari yang penuh kontroversi berkenaan isu habuan kemenangan yang disuarakannya bintang Serbia itu.

Bintang nombor satu dunia itu sebelum ini mencadangkan pemain lelaki berhak menerima lebih banyak wang tunai kemenangan berbanding wanita selepas muncul juara saingan Indian Wells, Ahad lalu.

“Statistik menunjukkan bahawa kehadiran penonton untuk perlawanan tenis lelaki lebih ramai. Saya fikir ia salah satu sebab mengapa kami berhak menerima hadiah kemenangan lebih tinggi,” kata Djokovic yang turut menyatakan pemain wanita “perlu berdepan banyak perkara yang tidak dilalui kami (lelaki). Anda tahu, hormon dan perbezaan perkara lain.”

Djokovic semalam memohon maaf menerusi laman sosialnya tetapi belum bersedia menarik balik ucapannya itu ketika dia bersiap sedia untuk mempertahankan kejuaraan di Terbuka Miami minggu ini.

Djokovic ketika sesi soal jawab bersama media semasa Kejohanan Terbuka Miami di Crandon Park Tennis Center semalam. – AFP
Djokovic ketika sesi soal jawab bersama media semasa Kejohanan Terbuka Miami di Crandon Park Tennis Center semalam. – AFP

“Saya tidak pernah mempunyai isu dengan ketidaksamaan dalam jantina atau sukan atau mana-mana bahagian dalam hidup ini,” kata Djokovic.

“Kami semua berhak menerima pembayaran tinggi daripada kejohanan.” Pemenang 11 gelaran Grand Slam itu menambah, “Saya memohon maaf sekiranya saya menyakitkan hati rakan tenis wanita saya. Saya sangat menghormati mereka sebagai pemain.”

Djokovic berkata dia sudah menghantar mesej kepada Andy Murray, Serena Williams dan beberapa pemain lain yang lantang mengkritik kenyataan awalnya.

“Saya tidak pernah berniat untuk menyakitkan hati mereka dengan sengaja mengeluarkan kenyataan negatif,” kata Djokovic.

“Saya tidak pernah mengamalkan prinsip perbezaan jantina. Saya menekankan semangat kesukanan.”

ARTIKEL YANG SAMA