Djokovic sekat Nadal ke final

Djokovic sekat Nadal ke final

INDIAN WELLS, 20 Mac (AFP) – Novak Djokovic merencatkan kebangkitan semula jaguh tenis Sepanyol, Rafael Nadal dengan kemenangan straight set pada aksi separuh akhir Masters ATP Indian Wells, awal pagi tadi.

Kemenangan 7-6 (7/5), 6-2 ke atas lawan yang disifatkan musuh tradisinya itu membuka peluang buat Djokovic melebarkan rekod kemenangan di Indian Wells kepada lima apabila dijadual bertemu pemain Kanada, Milos Raonic di pentas final, awal pagi ini.

“Hari ini, set pertama hanya ditentukan dengan satu atau dua mata,” kata Djokovic.

“Set kedua lebih rapat dan saya bermain tiga perlawanan terakhir dengan amat baik.

“Saya lega saya dapat mengatasi cabaran ini, iaitu salah satu yang terhebat dalam sukan, bermain menentang Rafa.

Djokovic ketika menentang Nadal pada perlawanan suku akhir lelaki di Kejohanan Terbuka BNP Paribas Indian Wells. Djokovic berjaya menyekat kebangkitan Nadal dengan kemenangan straight set pada aksi separuh akhir Masters ATP Indian Wells. - AFP
Djokovic ketika menentang Nadal pada perlawanan suku akhir lelaki di Kejohanan Terbuka BNP Paribas Indian Wells. Djokovic berjaya menyekat kebangkitan Nadal dengan kemenangan straight set pada aksi separuh akhir Masters ATP Indian Wells. – AFP

“Ia mungkin boleh menjadi perkara lain namun saya berjaya kekal dengan keadaan terbaik dan melakukan servis dengan baik pada masa yang penting dan percaya saya boleh menang,” kata pemain nombor satu dunia itu.

Kejayaan ke atas Nadal menyaksikan rekod kemenangan Djokovic pada musim ini terus meningkat kepada 21-1 termasuk ketika menjuarai Grand Slam Terbuka Australia, Januari lalu.

Bagi Nadal yang memasuki usia 30 tahun, Jun ini, prestasinya di Indian Wells disifatkan jauh lebih baik dan memberikannya gambaran positif selepas tersingkir di pusingan pertama di Terbuka Australia, sebelum ini.

“Hari ini lebih hampir berbanding beberapa pertemuan terakhir saya menentang pemain terbaik dunia. Jadi ia minggu yang amat positif bagi saya,” kata Nadal.

Bintang tenis Kanada, Raonic dalam pada itu mara ke final selepas menewaskan pemain Belgium, David Goffin dalam pertarungan tiga set 6-3, 3-6, 6-3.

Ia adalah final ke-17 ATP sepanjang karier pemain berusia 25 tahun itu yang kali ini mendapatkan khidmat jurulatih baru yang juga legenda tenis, Carlos Moya.

Pertembungan final wanita juga dijadualkan hari ini yang menemukan bintang tenis Amerika Syarikat, Serena Williams bertemu Victoria Azarenka.

ARTIKEL YANG SAMA