Djokovic tarik diri

Djokovic tarik diri

MADRID, 30 April – Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menarik diri daripada beraksi di Masters Madrid, minggu depan sebagai persiapan bagi melengkapkan gelaran Grand Slam miliknya di Terbuka Perancis.

Bintang kelahiran Serbia itu memiliki lapan gelaran Grand Slam iaitu lima Terbuka Australia (2008, 2011, 2012, 2013, 2015) dua Wimbledon (2011, 2014) dan satu Terbuka Amerika Syarikat (2011) namun gagal memenangi Terbuka Perancis.

Paling hampir buat pemain berusia 27 tahun itu untuk menjuarai Terbuka Perancis ialah tahun lalu dan 2012 apabila mara ke final namun dikecewakan jaguh Sepanyol, Rafael Nadal.

“Pemain kelahiran Serbia mengumumkan dia tidak akan beraksi di Caja Magica dan akan mengambil masa rehat sebelum meneruskan jadualnya pada kejohanan di Rom dan Roland Garros,” kata penganjur kejohanan dalam satu kenyataan, hari ini.

Djokovic turut terlepas aksi di Masters Madrid tahun lalu akibat kecederaan pergelangan tangan.

Djokovic menarik diri daripada beraksi di Masters Madrid untuk memberikan tumpuan kepada Terbuka Perancis. – Reuters
Djokovic menarik diri daripada beraksi di Masters Madrid untuk memberikan tumpuan kepada Terbuka Perancis. – Reuters

Tahun ini, Djokovic sudah menjuarai gelaran pertama Grand Slam di Terbuka Australia selain memenangi tiga siri Masters di Indian Wells, Miami dan Monte Carlo.

Keputusan menarik diri di Madrid membuka peluang buat pencabarnya merapatkan jurang mata namun ia adalah pengorbanan yang dibuat untuk mengakhiri dominasi Nadal selaku raja tanah liat di Paris. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA