Djokovic tersingkir dari Wimbledon

Djokovic tersingkir dari Wimbledon

LONDON, 3 Julai – Penyandang juara dua kali, Novak Djokovic tersingkir daripada Wimbledon selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat (AS), Sam Querrey di pusingan ketiga, awal pagi tadi.

Kekalahan pemain di ranking nombor satu dunia itu turut menamatkan impiannya untuk bergelar pemain pertama melengkapkan kalendar Grand Slam dalam tempoh 47 tahun.

Ia adalah kekalahan paling awal buat pemain kelahiran Serbia yang memiliki tiga kemenangan di Wimbledon itu sejak Terbuka Perancis pada 2009. Malah kekalahan 7-6 (8/6), 6-1, 3-6, 7-6 (7/5) pilihan utama itu turut mengakhiri rekodnya yang melakukan 30 kemenangan berturut-turut dalam era terbuka di Grand Slam.

“Sam bermain permainan yang menakjubkan. Permainannya ganas dan saya dikuasai olehnya hari ini,” kata Djokovic yang turut menambah dia tidak 100 peratus sihat.

Reaksi Djokovic semasa sidang akhbar, selepas dikalahkan oleh Sam Querrey daripada A.S. dalam acara perseorangan lelaki mereka pada hari enam Kejohanan Tenis Wimbledon di London, semalam. - AP
Reaksi Djokovic semasa sidang akhbar, selepas dikalahkan oleh Sam Querrey daripada A.S. dalam acara perseorangan lelaki mereka pada hari enam Kejohanan Tenis Wimbledon di London, semalam. – AP

“Begitupun, ia bukan tempat atau masa untuk berkata mengenai perkara ini,” katanya mengulas perkara terbabit.

Bagi Querrey yang terkenal dengan pukulan servis kencang, ia adalah kemenangan keduanya ke atas Djokovic dalam 10 pertembungan sebelum ini.

Pemain di ranking 41 dunia itu jelas menggunakan kelebihan servisnya ke atas Djokovic dengan melakukan 31 pukulan ace, 15 di set keempat dan menyelamatkan 14 daripada 17 mata break.

Lawan pemain berusia 28 tahun itu di peringkat 16 terakhir ialah pemain Perancis, Nicolas Mahut. “Ia menakjubkan, terutama untuk melakukannya di sini di Wimbledon,” kata Querrey. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA