Doa kesyukuran sempena Hari Keputeraan KDYMM

Doa kesyukuran sempena Hari Keputeraan KDYMM

Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69, pelbagai pihak mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi memanjatkan doa semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, mengadakan majlis seumpamanya yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM.

Hadir di majlis itu ialah Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan, para pegawai kanan dan kakitangan yang terlibat menjayakan majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan solat fardu zohor berjemaah, diikuti dengan solat hajat yang diimamkan oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman turut hadir di Majlis Doa Kesyukuran JPM.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman turut hadir di Majlis Doa Kesyukuran JPM.
Dato Paduka Haji Bahrin bersama warga Kementerian Kewangan menunaikan sembahyang berjemaah di majlis itu.
Dato Paduka Haji Bahrin bersama warga Kementerian Kewangan menunaikan sembahyang berjemaah di majlis itu.
Antara yang hadir di majlis anjuran BSP.
Antara yang hadir di majlis anjuran BSP.
Gambar ramai di Majlis Doa Kesyukuran BAG Network.
Gambar ramai di Majlis Doa Kesyukuran BAG Network.

Seterusnya bacaan Surah Yasin dan bertahlil serta bacaan doa kesyukuran sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan dipimpin oleh Haji Mohd Aslena bin Haji Metusin.

Sementara itu, Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) memanjatkan doa kesyukuran pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Surau BSP, di Seria, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, Pemangku Pengarah Urusan BSP, Haji Kamaluddin bin Haji Bungsu, pasukan pengurusan dan kakitangan BSP.

Majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran dan doa Khatam Al-Quran, diikuti dengan doa kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69.

Menurut kenyataan BSP, majlis yang diadakan untuk menyemarakkan bulan Ramadan serta meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ini bertujuan untuk meningkatkan pembacaan Al-Quran dalam kalangan kakitangannya.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Sembahyang Zohor dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Bertahlil dan Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan di Surau Kementerian Kewangan, Bangunan Kementerian Kewangan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis bermula dengan menunaikan sembahyang fardu zohor dan sunat hajat berjemaah yang diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil beramai-ramai serta bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Pintu Malim, Haji Muhd Azrol Alim bin Haji Zaini.

Manakala itu, kelmarin, BAG Network telah mengadakan majlis kesyukuran yang diselajurkan dengan sambutan penubuhannya yang ke-14 tahun, di di Auditorium Utama, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, Berakas.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Masin, Awang Zainul Hassan, diikuti dengan ceramah Ramadan yang disampaikan oleh Awang Adi Aismat bin Lamat dari Pusat Dakwah Islamiah.

Menurut Ketua Perkhidmatan Korporat BAG Network, Hajah Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Mohd Yunos, sempena sambutan Ulang Tahun BAG Network ke-14 tahun pada 18 Julai ini, BAG akan terus komitmen untuk memberikan yang terbaik dan seterusnya berperanan sebagai aset negara untuk mencapai dan merealisasikan matlamat ekonomi Negara Brunei Darussalam .

Sempena sambutan ulang tahunnya, BAG Network turut mengadakan program sumbangan derma dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada beberapa buah keluarga yang dikenal pasti memerlukan bantuan sempena bulan Ramadan.

Menurut sukarelawan BAG, Hajah Siti Zaimah binti Haji Awang Tuah, sumbangan yang diberikan ini merupakan antara program tahunan yang bertujuan untuk berkongsi kegembiraan dalam bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

ARTIKEL YANG SAMA