Doa kesyukura...

Doa kesyukuran sempena Hari Puja Usia DPMM

Oleh Yusrin Junaidi & Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Sempena Hari Puja Usia ke-43 Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung di Masjid Perpindahan Lambak Kanan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Majlis berkenaan dihadiri oleh para pegawai kanan, pegawai, dan kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya. Terdahulu, majlis dimulakan dengan solat sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil. Majlis kemudian diteruskan dengan laungan Dikir Ashrakal Badru Alaina dan bacaan Doa Kesyukuran khas sebelum diakhiri dengan solat fardu Asar berjemaah.

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), di mana Duli Yang Teramat Mulia merupakan Jeneral ABDB, turut mengadakan majlis seumpamanya di kesemua surau di perkhemahan dan garison ABDB.

Hadir di majlis utama yang diadakan di Surau Ad-Difa’ Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menghadiri majlis kesyukuran sempena Hari Puja Usia ke-43 Duli Pengiran Muda Mahkota di Masjid Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menghadiri majlis kesyukuran sempena Hari Puja Usia ke-43 Duli Pengiran Muda Mahkota di Masjid Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bersama Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Haji Mohd Tawih serta warga Kementerian Pertahanan dan ABDB sama-sama meraikan Hari Puja Usia Duli Pengiran Muda Mahkota dengan majlis kesyukuran dan Doa Selamat di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bersama Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Haji Mohd Tawih serta warga Kementerian Pertahanan dan ABDB sama-sama meraikan Hari Puja Usia Duli Pengiran Muda Mahkota dengan majlis kesyukuran dan Doa Selamat di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB, pemerintah-pemerintah tentera, timbalan setiausaha tetap, para pengarah, pegawai kanan ABDB, pegawai dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan dan ABDB

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Maa’idah oleh Sarjan (U) Haji Muhamad Syasuandi bin Haji Abu Bakar dari Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT) diikuti dengan sembahyang fardu Maghrib, sembahyang sunat hajat, bacaan Surah Yasin dan sembahyang fardu Isyak.

Turut meraikan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang juga selaku Timbalan Inspektor Jeneral Polis, ialah Pasukan Polis Diraja Brunei dengan Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bersama warga Pasukan Polis Diraja Brunei turut menyertai majlis membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong, kelmarin.
Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bersama warga Pasukan Polis Diraja Brunei turut menyertai majlis membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong, kelmarin.

Hadir di majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam. Turut hadir ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, para pengarah, timbalan pengarah, para pegawai pemerintah daerah polis, ketua formasi, pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Majlis yang dikendalikan oleh Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei dengan dipengerusikan oleh S/Supt Pengiran Zaidi bin Pengiran Haji Metali itu telah dimulakan dengan solat sunat Hajat berjemaah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO SM 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Mat Tahir,.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta Doa Kesyukuran Sempena Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis.

Majlis berkenaan diadakan setiap tahun bermulanya Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dilantik menjadi Timbalan Inspektor Jeneral Polis Pasukan Polis Diraja Brunei pada 5 Mei 2005.

ARTIKEL YANG SAMA