Doa kesyukuran SUAMPRIPAD sempena naik taraf surau

Doa kesyukuran SUAMPRIPAD sempena naik taraf surau

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) mengadakan majlis doa kesyukuran sempena menaik taraf surau ‘Musolla Firdaus’ sekolah berkenaan.

Hadir ke acara tersebut ialahPemangku Penolong Pengarah Perkhidmatan Korporat, Haji Rusli bin Mohd Salleh. Ia juga dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, guru-guru SUAMPRIPAD dan para pelajar Tahun 9 dan 10 (Normal Track).

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Dayang Khairulisa Zafirah binti Haji Khiruddin, penuntut Tahun 10 As-Sahlabiyyah. Seterusnya, Surah Yasin dibaca secara beramai-ramai diketuai oleh Haji Ahmad bin Haji Md Noor. Kemudian, Pengiran Haji Mohammad Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu menyampaikan tazkirah yang bertajuk ‘Kesabaran’, disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dibacakan oleh Ali Mohamed Moustafa Ali El Saghir. Majlis diakhiri dengan acara menandatangani plak kenangan oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan dikir.

Bacaan Surah Yasin beramai-ramai.
Bacaan Surah Yasin beramai-ramai.

Penambahbaikan surau sekolah tersebut memakan masa lebih kurang dua tahun. Tujuan surau tersebut dibesarkan adalah bagi menampung jumlah penuntut SUAMPRIPAD dari Tahun 7 sehingga Tahun 11 yang semakin bertambah. Jumlah penuntut di sekolah tersebut telah mencapai melebihi 1,000 orang.

Surau tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menunaikan solat Fardu berjemaah, bahkan juga boleh digunakan sebagai kelas pembelajaran seperti mata pelajaran Amali dan Al-Quran serta mengadakan sesi ceramah agama atau taklimat motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah.

ARTIKEL YANG SAMA