Doa senjata umat Islam

Doa senjata umat Islam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Doa merupakan senjata umat Islam memohon pertolongan daripada Allah S.W.T dan cara umat Islam bermunajat denganNya kerana hanya Allah S.W.T sahajalah yang berkuasa dan menentukan segala-galanya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai doa yang menurutnya lagi, akan mendekatkan umat Islam sebagai hambaNya dengan Allah S.W.T kerana ketika seseorang itu berdoa, dia meletakkan keyakinan dan bergantung sepenuhnya kepada Allah S.W.T dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat mengabulkan permintaan hambaNya.

“Orang yang berdoa itu tidak akan pernah rugi sedikitpun. Sebaliknya dialah yang paling beruntung. Dengan doa, dapat mewujudkan sesuatu yang luar biasa, apatah lagi apabila ia dipohonkan pada saat-saat dan suasana tertentu yang menjadikan doa itu cepat terkabul.”

Khatib menyatakan lagi bahawa orang yang enggan berdoa kepada Allah S.W.T adalah orang yang sombong di mana orang yang seperti itu kelak dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina.

Namun jika seseorang berkehendakkan sesuatu, mereka sering menjaga adab dan tatasusila, maka bagi umat Islam yang ingin memohon sesuatu kepada Allah S.W.T, hendaklah menjaga adab-adab dalam berdoa.

Antaranya ialah berwuduk, mengadap kiblat, memulakan dan mengakhiri doa dengan memuji nama Allah S.W.T serta membaca selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W. Umat Islam juga disunatkan untuk merendahkan dan melembutkan suara, menadah tangan, merendahkan diri dengan rasa syukur dan takut agar hati lebih ikhlas dalam berdoa serta yakin bahawa Allah S.W.T akan mengabulkan doa mereka.

Menurut khatib lagi, jika dirasakan doa itu tidak terkabul, maka janganlah mudah putus asa, teruskanlah berdoa dan janganlah terburu-buru mengharapkan supaya doa itu cepat dikabulkan.

“Oleh itu, hendaklah kita berasa yakin bahawa Allah S.W.T akan mengabulkan doa kita, sama ada cepat ataupun lambat, Allah S.W.T pasti akan mengabulkan doa seorang hambaNya sesuai dengan hajat yang dipohonkan, asalkan tetap sabar dan tidak putus asa.”

Sesungguhnya, hanya Allah S.W.T tempat umat Islam berdoa dan mengadu apabila ditimpa masalah. Dengan cara demikian, pasti jiwa mereka akan berasa tenang dan tenteram serta beban akan terasa lebih ringan.

Ini, jelas khatib merupakan cara dan kaedah penyelesaian yang terbaik kepada umat Islam dalam menghadapi sebarang permasalahan dan kesusahan yang menimpa.

“Apabila kita dekat dengan Allah S.W.T, Dia pasti akan mempermudahkan segala urusan kita, membantu kita ketika susah dan senang. Berdoalah pada setiap masa walau dalam apa pun jua keadaan, yang penting berdoalah dengan niat yang ikhlas dan yakin kepada Allah S.W.T,” ujar khatib.

ARTIKEL YANG SAMA