Doa senjata umat Islam

Doa senjata umat Islam

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 14 Ogos – Doa ialah ibadat dan senjata orang mukmin yang paling kuat sekali dan umat Islam digalakkan untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT untuk mendapat kekuatan, keyakinan, harapan, keberkatan, keredaan dan perlindunganNya agar dihindarkan daripada sebarang musibah.

“Berdoa itu adalah pengakuan seorang hamba terhadap kekuasaan Allah SWT dan juga pengakuan bahawa tiada tempat lain meminta pertolongan melainkan Allah SWT, dan kerana itu, setiap perbuatan yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya ada doa-doanya yang khusus untuk kita baca,” kata khatib dalam Khutbah Jumaat yang menyentuh mengenai kelebihan dan kepentingan berdoa dalam ibadat seharian.

Menurut khatib lagi, orang yang tidak berdoa bererti dia menghindarkan dirinya daripada pelbagai kebaikan dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Doa itu senjata orang mukmin.”

Ini bermakna doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang amat banyak kepada umat Islam, kerana melaluinya, keampunan dan rahmat akan diperoleh, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar, kerana jika Allah SWT menghendaki dan memperkenankan doa hambaNya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang.

Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa hambaNya yang penuh dengan keikhlasan.

Ingatlah berdoa juga boleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada’ (ketentuan Allah SWT),” tambah Khatib lagi.

Dalam meraikan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun, khatib turut menyeru agar rakyat negara ini memanjatkan doa kesejahteraan buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar Allah SWT melanjutkan usia Baginda, sentiasa dalam sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan adil dan saksama dengan petunjuk dan hidayah serta perlindungan Allah SWT, agar negara ini terus makmur di bawah kepimpinan Baginda.

Menurut khatib lagi, sesungguhnya pemeliharaan Allah SWT terhadap negara kita adalah berkat amalan kita yang sentiasa berdoa.

Berkat amalan berdoa tersebut, kita dapat menikmati hidup dalam negara yang aman dan makmur ini, rezeki dan hasil mahsul negara, berpemerintahan yang adil, di mana raja dan rakyat sama-sama mentaati Allah SWT.

Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa, anak-anak, ahli keluarga, saudara-mara dan Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.

Begitu juga berdoa untuk raja dan para pemimpin Islam, berdoa untuk rakyat dan negara adalah amalan tradisi bagi umat Islam di negara ini. Setiap hari kita berdoa selepas menunaikan ibadat sembahyang fardu dan sunat, berdoa kepada Allah SWT untuk memelihara Sultan dan kerabatnya serta umat Islam sama ada dalam majlis rasmi atau tidak rasmi, memulakan mesyuarat dan lain-lain lagi.

Khatib turut menyeru umat Islam negara ini akan mempertahankan amalan berdoa dalam setiap majlis ini sehingga bila-bila kerana amalan ini merupakan identiti berharga bagi Negara Brunei Darussalam dan selari dengan tuntutan agama Islam.

Menurut khatib, selain amalan berdoa, membaca Al-Quran dan mengutamakannya juga telah menjadi amalan di negara ini.

Maka bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ini juga akan diadakan majlis Membaca Al-Quran Khatam 69 kali Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara yang akan disertai oleh kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.

“Manakala acara kemuncak bagi majlis membaca Al-Quran tersebut akan diadakan pula Majlis Khatam Al-Quran di Istana Nurul Iman.

Sebenarnya bacaan ayat suci Al-Quran tersebut, yang dibaca oleh rakyat secara khusus adalah diniatkan menjadi doa memohon kepada Allah SWT bagi melanjutkan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu raja kita.

Mudah-mudahan doa yang dipanjatkan itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT,” jelas Khatib.

ARTIKEL YANG SAMA