DOFS batal lesen perikanan dua bot klon

DOFS batal lesen perikanan dua bot klon

KOTA KINABALU, 9 Sept – Jabatan Perikanan Sabah (DOFS) telah membatalkan lesen perikanan terhadap dua bot milik warga tempatan kerana melakukan kesalahan mengklon bot yang sudah rosak dengan bot lain dipercayai dari Vietnam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata terdapat bukti kukuh berlakunya kegiatan mengklon bot yang dilakukan kedua-dua pemilik bot berkenaan.

Sebelum ini, DOFS telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan Persatuan Pemilik Kapal Perikanan Kota Kinabalu kononnya beberapa bot nelayan yang mencurigakan disyaki menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Mengalum.

“Hasil siasatan yang dijalankan DOFS mendapati lesen perikanan dan bot masih sah serta memiliki lesen perikanan pukat tunda selain mempunyai rekod melakukan aktiviti penangkapan dan penjualan ikan yang tetap.

“Namun, laporan pemeriksaan bot yang dijalankan oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bersama DOFS mendapati laporan aduan mengenai bot berkenaan telah diklon adalah berasas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yahya berkata DOFS akan memohon kepada Pejabat Peguam Negara untuk meneliti kertas siasatan bagi menentukan pertuduhan lanjut yang sesuai di bawah akta lain yang berkaitan dapat dijalankan. – Bernama