Doha bakal anjur persidangan mengenai pembangunan mampan

Doha bakal anjur persidangan mengenai pembangunan mampan

DOHA, 8 April (Bernama) – Yayasan Sosial Qatar buat julung kalinya bakal menganjurkan persidangan mengenai peranan masyarakat sivil di wilayah Arab dalam pelaksanaan agenda pembangunan mampan 2030 (Agenda 2030) pada 20 hingga 21 April di Doha, lapor agensi berita Qatar (QNA).

Persidangan itu diadakan dengan kerjasama Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Barat (ESCWA), Tabung Populasi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPF), Liga Arab serta Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Selain itu, persidangan bertujuan membincangkan cabaran menuju pembangunan serta bertukar-tukar pengalaman untuk mencapai syor-syor yang konkrit.

Turut akan dibincangkan dalam persidangan ialah bagaimana cara untuk membabitkan pertubuhan masyarakat sivil dalam proses pembangunan.

Persidangan itu juga dilihat memberi peluang kepada Qatar menonjolkan peranannya dalam menyokong pembangunan mampan di peringkat dunia dan wilayah Arab.

Lebih 200 peserta dijangka menyertai persidangan itu termasuk wakil pertubuhan masyarakat sivil di negara Arab, organisasi PBB dan agensi kerajaan termasuk perwakilan serta pakar daripada sektor swasta.

ARTIKEL YANG SAMA