Dokong perkembangan PMKS

Dokong perkembangan PMKS

Oleh Normazlina M.D

 

pg01_160309_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Dalam usaha untuk mendokong perkembangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi, beberapa inisiatif telah diambil oleh Jabatan Perdana Menteri, yang turut didokong melalui inisiatif Ease of Doing Business.

Antaranya ialah penubuhan sebuah Badan Khas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dikenali sebagai DARe (Darussalam Enterprise) yang berperanan untuk menggalakkan perkembangan dan memperkasa PKS; merangka beberapa program khusus untuk meningkatkan kecekapan urus tadbir dan aktiviti perniagaan koperasi; dan melaksanakan Projek ‘KEMAS’ bagi memastikan koperasi-koperasi mematuhi peraturan-peraturan dalam Akta Koperasi.

Selain daripada itu, tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, usaha-usaha juga diambil melalui Dana Pembangunan Strategik (SDC) di Kementerian Kewangan untuk mempermudah akses PMKS yang berpotensi kepada sumber kewangan dan berterusan mengenal pasti PMKS yang berpotensi untuk dikembang majukan melalui model ‘private equity’ atau ‘venture capital’.

Semasa membentangkan cadangan Belanjawan bagi Tahun Kewangan 2016/2017 pada Majlis Mesyuarat Negara 2016 hari ketiga, pagi tadi, Yang Berhormat Pehin berkata, bagi terus mendokong pelaksanaan program-program Pembangunan Kemajuan PMKS, sebanyak $1.6 juta dengan Harga Rancangan $74 juta akan disediakan di bawah Dana Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Selain itu, kemudahan-kemudahan seperti Program pembiayaan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan peruntukan sebanyak $8.3 juta dengan Harga Rancangan $60 juta juga akan terus disediakan.

Tambah beliau lagi, sebagai langkah bagi memudah cara lagi urusan perniagaan dan pelaburan di negara ini, sebuah pusat Business Support Centre akan ditubuhkan dan dijangka akan mula beroperasi pada bulan April 2016 ini. Pusat ini akan berperanan sebagai pusat utama dalam mendokong keperluan perniagaan dan pelaburan dari dalam dan luar Negara.

Manakala itu, melalui strategi untuk memperkasa keusahawanan tempatan, program dan skim bagi menjana peluang-peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan menggalakkan pertumbuhan keusahawanan serta membangunkan sumber tenaga manusia akan dikemaskinikan dan diperkukuhkan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan terma suklah melalui Program Pembangunan Keusahawanan Belia, bagi membantu para belia tempatan yang terpilih untuk memulakan perniagaan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA