Doktor-doktor Brunei berhari raya di Liverpool

Doktor-doktor Brunei berhari raya di Liverpool

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Suasana Hari Raya di Liverpool tidaklah semeriah di tanah air. Bagaimanapun sekumpulan doktor-doktor Brunei yang pada masa ini menjalani latihan kepakaran kedoktoran di Liverpool, United Kingdom (UK) tidak ke-tinggalan mengambil kesempatan dalam kesibukan tugasan untuk berkumpul meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan dari tanah air.

Kota Liverpool memanglah tidak asing lagi bagi doktor-doktor Brunei yang mana telah banyak melahirkan pakar-pakar perubatan Brunei, antara mereka termasuklah Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Maka tidak hairanlah Liverpool dipilih untuk menjalani latihan kepakaran memandangkan ia adalah pusat bagi latihan kepakaran pembedahan dan kajian yang berkualiti dan antara yang terbaik di United Kingdom.

Menurut Dr. Haji Khairul yang bakal menamatkan kursus kepakaran beliau pada tahun hadapan dalam bidang Trauma & Orthopaedic Surgery yang dipautkan bersama ijazah kajian (Mphil), beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dan bantuan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selama beliau dan keluarga berada di sana.

Dr. Haji Khairul, Dr. Pengiran Noor Azmi dan Dr. Mohammad Hafidz.
Dr. Haji Khairul, Dr. Pengiran Noor Azmi dan Dr. Mohammad Hafidz.
Sebahagian daripada doktor-doktor dan keluarga masing-masing yang berkumpul meraikan Hari Raya Aidilfitri di Liverpool, UK.
Sebahagian daripada doktor-doktor dan keluarga masing-masing yang berkumpul meraikan Hari Raya Aidilfitri di Liverpool, UK.

Peluang menjalani latihan kepakaran dan penyelidikan dalam waktu yang sama mudah-mudahan akan dapat melahirkan pakar yang bukan sahaja mahir dalam bidang pembedahan akan tetapi dapat memberikan sumbangan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Dr. Pengiran Noor Azmi pula yang sedang berada di permulaan tahun kedua latihan kepakaran beliau berkata, walaupun latihan kepakaran ini memakan masa yang agak lama iaitu lima tahun tetapi peluang untuk menjalani latihan kepakaran dan kajian di sebuah institusi yang antara terbaik di seluruh United Kingdom tidak akan disia-siakan.

Beliau berdoa mudah-mudahan segala pengorbanan dan sokongan daripada semua pihak akan berbaloi juga akhirnya serta bersepakat bersama rakan-rakan yang lain untuk kembali ke Brunei nanti dengan pengalaman dan kelulusan yang mencukupi bagi memenuhi tanggungjawab dan keperluan visi dan misi Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Dr. Mohammad Hafidz pula turut menyuarakan pendapat yang sama dan melahirkan rasa kesyukuran kerana walaupun jauh di perantauan akan tetapi dengan sokongan dan bantuan yang berterusan daripada pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Skim Latihan Dalam Perkhidmatan ini, InsyaAllah Negara Brunei Darussalam dalam tempoh empat dan lima tahun akan datang akan dapat memiliki pakar bedah Trauma & Orthopaedic yang mencukupi dan seterusnya membantu membina latihan kepakaran kitani yang tersendiri di masa hadapan.

Dr. Hajah Susalnoor yang juga akan menamatkan kursus kepakaran bidang Orthorhinolaryngology (ENT) pada tahun ini berharap akan dapat memberikan semula sumbangan yang bermakna kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam setelah sekian lama berada di luar Negara.

Sejumlah lapan orang doktor Brunei yang pada masa ini menjalani latihan kepakaran dalam bidang masing-masing di Liverpool. Empat daripada mereka di bidang Trauma & Orthopaedic Surgery; dua di bidang ENT; seorang dalam bidang Obstetrik & Ginekologi dan seorang lagi dalam bidang Gastroenterologi.

Mereka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada kaum keluarga serta sahabat handai di tanah air.