Doktor gugurkan janin boleh dipenjara

Doktor gugurkan janin boleh dipenjara

DAR ES SALAAM, 8 Jan (Reuters) – Perdana Menteri Tanzania yang baharu dilantik memberi amaran kepada doktor yang menjalankan pengguguran janin secara haram akan dipecat dan kemungkinan dihukum penjara dalam usaha memerangi perbuatan terbabit di seluruh negara itu.

Kerajaan memberi amaran sedemikian berikutan laporan doktor di hospital awam dan swasta di timur negara berkenaan dipercayai menerima bayaran untuk melakukan pengguguran janin dan kajian mendapati kadar komplikasi yang tinggi dicatat akibat daripada perbuatan berkenaan.

Pengguguran janin adalah dilarang di Tanzania kecuali dilakukan bagi menyelamatkan nyawa wanita dan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun.

Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) berkata, Tanzania adalah antara negara yang mencatat kadar kematian kelahiran tertinggi di dunia iaitu 454 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran.

Pegawai kerajaan berkata, kebanyakan kematian adalah disebabkan komplikasi akibat pengguguran janin.

Wanita yang tidak mendapat perkhidmatan menggugurkan janin yang selamat mungkin cuba untuk tidak mengandung lagi atau pergi ke klinik haram yang boleh membahayakan nyawa mereka.

Perdana Menteri, Kassim Majaliwa memberitahu doktor di Hospital Daerah Ruvuma supaya menghentikan pengguguran janin terhadap remaja dan wanita atau mereka boleh dipecat dan dihukum mengikut undang-undang.

“Perbuatan yang menyalahi undang-undang ini tidak dapat diterima, doktor yang berbuat demikian tidak akan terlepas.

Saya tidak mahu dengar wad bersalin digunakan sebagai tempat membuang janin,” katanya.