Doktor pantau tahap kesihatan Raja Thailand

Doktor pantau tahap kesihatan Raja Thailand

BANGKOK, 17 Feb – Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, 88, kini dirawat akibat masalah jantung, tekanan darah tinggi dan kesukaran bernafas dalam beberapa minggu ini, kata istana dalam kenyataan, semalam.

Raja Bhumibol dilaporkan menghabiskan kebanyakan masa dalam tempoh dua tahun lalu di hospital kerana beberapa siri rawatan sehingga kurang membuat penampilan di khalayak ramai.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Isi Rumah Diraja berkata, Raja Thai itu dipantau kerana mengalami demam panas selepas doktor menemui disfungsi diastolik dan tekanan darah tinggi di dalam paru-parunya pada minggu lepas.

“Sepasukan pakar perubatan diraja memasukkan ubat antibiotik berkala dan juga berterusan memberikan bantuan oksigen,” kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, doktor ketika ini sedang “memantau rapi keadaannya” sementara mereka mencari penyelesaian mengenai pernafasan yang tidak teratur dan suhu tinggi yang dikesan.

Bhumibol adalah raja monarki paling lama di dunia selama hampir tujuh dekad dan kebanyakan rakyat Thailand belum pernah bernaung di bawah raja lain. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA