‘Doktor pendakap gigi’ kena 12 bulan

‘Doktor pendakap gigi’ kena 12 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160512_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Seorang wanita penduduk tetap dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas 22 pertuduhan menjalankan perkhidmatan pergigian tanpa lesen.

Majistret Azrimah binti Haji Abd Rahman memutuskan hukuman itu ke atas Hayimmah binti Bahri, 29, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kediamannya di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Tungku, pada 2012 hingga April 2014.

Dia didakwa menawarkan perkhidmatan pendakap gigi dan khidmat nasihat kepada pelanggannya yang diperolehinya dari laman sosial Facebooknya, Sop Chery Chery dan Braces Orthodontics Brunei.

Perbuatan tertuduh hanya disedari apabila salah seorang ahli Lembaga Perubatan Brunei membuat laporan kepada pihak polis selepas mendapati sejumlah pesakit datang ke klinik gigi kerajaan untuk mendapatkan rawatan pada pendakap yang dipasang oleh tertuduh telah menyebabkan kerosakan pada gigi dan tisu sokongan pelanggannya.

Polis membuat serbuan di kediaman tertuduh pada 12 April 2014, dan merampas peralatan penyokong gigi, sarung tangan, kerusi pergigian, buku resit, peralatan pergigian berserta pengecas, alat pendakap dan set alat ortodontik lain.

Tertuduh mendakwa dia belajar cara memasang pendakap gigi itu di Madura, Indonesia pada tahun 2005, dan memulakan perkhidmatannya penghujung tahun 2012.

Tertuduh turut mendedahkan bahawa dia mengenakan bayaran $150 hingga $450 untuk setiap pendakap yang dipasang, dan harga itu bergantung pada keadaan gigi pelanggannya.

Dia turut mengenakan bayaran $15 hingga $30 untuk pemeriksaan bulanan.

Tertuduh diwakili Peguam Bela Ahmad Basuni Abas manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff.

ARTIKEL YANG SAMA