Doktor wanita dipenjara seksa pembantu Afrika

Doktor wanita dipenjara seksa pembantu Afrika

BANDAR KUWAIT, 17 Dis – Mahkamah rayuan Kuwait telah menjatuhkan hukuman empat tahun penjara ke atas seorang wanita pakar perubatan kerana menyeksa pembantu rumahnya warga Afrika sehingga hilang deria penglihatan, lapor media tempatan hari ini.

Akhbar Al-Watan melaporkan dalam laman webnya yang doktor Kuwait berkenaan telah menyeksa pekerja domestik Madagascar itu hampir setiap hari, memukulnya secara sistematik sehingga dia kehilangan penglihatan di sebelah mata kirinya.

Sebuah mahkamah rendah telah membebaskan doktor berusia 55 tahun itu namun mahkamah rayuan kelmarin menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya.

Mahkamah juga mendenda doktor itu sekitar AS$2,500 (2,300 euro) dan mengarahkannya untuk membayar ganti rugi kecacatan sementara sebanyak AS$16,500 kepada pekerja itu.

Akhbar berkenaan mengatakan anak saudara doktor itu membantu pekerja tersebut ke balai polis untuk memfailkan aduan.

Perbicaraan itu belum lagi muktamad kerana ia perlu dikaji semula oleh mahkamah tinggi.

Parlimen Kuwait pada Jun meluluskan perundangan pertama di negeri Teluk kaya minyak untuk mengawal status ribuan pembantu domestik terutamanya dari Asia.

Kira-kira 600,000 orang, terutamanya dari Asia, bekerja sebagai pembantu rumah di Kuwait. – AFP