Dokumentari dedah keistimewaan Borneo

Dokumentari dedah keistimewaan Borneo

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Penonton di seluruh dunia tidak lama lagi akan berpeluang meneroka ciri-ciri menakjubkan yang terdapat di Borneo, termasuk keindahan landskap tropika, kekayaan biodiversiti dan keunikan budayanya bagi membantu mereka untuk lebih mengenali pulau ketiga terbesar di dunia itu.

Disifatkan sebagai antara siri televisyen paling dinanti-nantikan kemunculannya pada tahun ini, dokumentari 10 episod itu, bertajuk ‘Borneo’, diterbitkan melalui apa yang dianggap sebagai hasil daripada perjanjian penerbitan bersama paling besar antara Singapura dan Malaysia setakat ini.

Penerbitan siri ini melibatkan kerjasama antara pengeluar kandungan televisyen dan bahan dalam talian terkemuka Malaysia, Kyanite TV, dan syarikat penerbitan yang memenangi pelbagai anugerah dari Singapura, Beach House Pictures (BHP), bersama-sama Discovery Networks Asia-Pacific, UKTV dari Britain, Lembaga Pembangunan Media Singapura (MDA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman berkata kerjasama seperti itu boleh menjadi pemangkin untuk menganjakkan had atau sempadan cerita tentang keistimewaan luar biasa yang dimiliki Malaysia untuk dipaparkan kepada dunia.

“Finas sentiasa menggalakkan penerbit filem memanfaatkan kepelbagaian yang wujud di Malaysiasebagai latar belakang untuk cerita mereka, bukan sahaja tentang penduduknya, tetapi juga mengenai flora dan fauna,” kata Kamil dalam ucapan alu-aluannya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Kandungan Asia Ke-5 (ACBS) di sini hari ini. – Bernama