Dolar Singapura kukuh berbanding AS

Dolar Singapura kukuh berbanding AS

SINGAPURA, 31 Mac (BHS) – Dolar Singapura tumbuh kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat semalam sedang kadar faedah setempat susut lagi selepas ketua Simpanan Federal Amerika, Dr Janet Yellen, menekankan perlunya bank pusat itu lebih berhati-hati dalam menaikkan kadar faedah.

Sehingga 2 petang semalam, dolar Amerika didagangkan pada AS$1.3534 berbanding dolar Singapura – kadar terendah sejak 13 Julai. Pada Selasa lalu, ia mencapai AS$1.3677.

Ringgit Malaysia juga lebih kukuh mencecah RM3.9395 (AS$1.345) berbanding dolar Amerika. Ini selepas ia mencapai RM3.9976 pada Selasa dan RM4.0102 pada Isnin lalu.

Kadar Tawaran Swap (SOR) tiga bulan – yang digunakan bagi pinjaman komersial – merosot kepada 0.90 peratus kelmarin. Kali terakhir ia mencecah paras itu ialah pada Julai.

Kejatuhan SOR itu signifikan memandangkan kadar tertinggi dalam masa 52 minggu telah dicapai kurang tiga bulan lalu pada 1.76 peratus pada 13 Januari lalu.

Kadar tawaran antarabank Singapura atau Sibor, yang digunakan untuk pinjaman perumahan pula merosot kepada 1.16 peratus semalam – berbanding kadar tertinggi tahun ini, 1.25 peratus pada 19 Januari. Kemerosotan kadar faedah di negara ini berlaku selepas dolar Singapura tumbuh di samping mata wang Asia lain, sebagai reaksi kepada langkah daripada bank pusat cuba menyelamatkan ekonomi.

Pakar ekonomi Citi Research menurunkan ramalan mereka tentang langkah pengetatan Fed – dan menjangka bank pusat itu akan hanya menaikkan kadar faedah sekali sahaja lagi pada September atau Disember.

Ini menyusuli kenyataan Dr Yellen yang bercanggah dengan isyarat daripada jurucakap Fed lain, sejak mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Federal Amerika Syarikat (FOMC) dua minggu lalu.

Menurut pakar ekonomi Citi, kenyataan Dr Yellen yang bersifat lebih lembut akan membantu mengurangkan ketidaktentuan mengenai Fed dan menetapkan jangkaan.

ARTIKEL YANG SAMA