Dominasi Mercedes ‘racun’ F1

Dominasi Mercedes ‘racun’ F1

SPIELBERG, Austria, 24 Jun (AFP) – Nico Rosberg ada banyak untuk diraikan selepas menewaskan Lewis Hamilton untuk memenangi Grand Prix Austria Ahad lalu tetapi bos pasukan Mercedes Toto Wolff mengakui selepas itu bahawa penguasaan pasukannya tidak baik untuk sukan Formula Satu.

Pengarah Eksekutif Mercedes Motosport, Toto Wolff mendakwa, dominasi pasukannya di litar Formula Satu (F1) memberikan petanda buruk buat sukan itu.

“Dari satu sudut, dominasi sesuatu pasukan dalam satu tempoh yang lama sememangnya boleh memberi kesan buruk dalam perlumbaan.

“Kita pernah saksikan ketika kemaraan pasukan Ferrari pada awal tahun 2000 dan Red Bull selama empat tahun berturut-turut. Ianya merencatkan daya saing sukan ini.

Wolff berkata demikian selepas pelumba pasukannya, Nico Rosberg menuntut kemenangan ke-11 dalam kerjayanya dan menyekat juara dunia dua kali, Lewis Hamilton daripada menghampiri gelaran kemenangan ketiganya.

Pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan Hamilton meraikan kejayaan di podium selepas menguasai Grand Prix Formula Satu Austria di Litar Red Bull Ring di Spielberg 21 Jun lalu. – Reuters
Pemandu Mercedes, Nico Rosberg dan Hamilton meraikan kejayaan di podium selepas menguasai Grand Prix Formula Satu Austria di Litar Red Bull Ring di Spielberg 21 Jun lalu. – Reuters

“Kamu perlu melihat sukan ini dari sudut yang lebih besar. Kami bukanlah mementingkan kemenangan semata-mata.

“Adakah bagus untuk melihat satu pasukan mendominasi dalam perlumbaan yang agak boleh dijangka? Tidak, mungkin tidak. Kita semua perlu bersama-sama memikirkan bagaimana untuk memperbaiki situasi ini,” ujarnya.

Pasukan Red Bull melalui musim yang menghampakan ekoran masalah kuasa pada enjin yang dibekalkan oleh Renault selain beberapa peraturan baharu yang dilihat pasukan itu sebagai suatu yang membebankan.

ARTIKEL YANG SAMA