Dompet digital pacu keseronokan inovasi pembayaran

Dompet digital pacu keseronokan inovasi pembayaran

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) – Dompet digital adalah topik utama perbincangan dalam talian apabila ia menyentuh inovasi pembayaran di sesetengah pasaran sedang muncul terbesar, termasuk Malaysia, India, China, Indonesia, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu, demikian menurut kajian pendengaran sosial MasterCard.

Dalam satu kenyataan di sini, kelmarin, MasterCard berkata, daripada semua inovasi pembayaran yang dibincangkan, orang ramai paling teruja mengenai dompet digital atau mudah alih, walaupun sebahagian produk yang dibincangkan itu belum dikeluarkan di mana-mana pasaran dalam kajian berkenaan.

Kajian dengan kerjasama PRIME Research itu menganalisis lebih 10,000 perbualan dalam talian dan fokus kepada inovasi pembayaran dan mengenai apa yang penduduk di Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika paling teruja dan apakah kebimbangan keselamatan apabila mereka menggunakan teknologi baru itu.

“Kajian itu juga mendapati kebimbangan paling besar orang ramai apabila menerima pakai teknologi pembayaran inovatif ialah sejauh mana data mereka boleh terdedah kepada penggodam dan penjenayah,” katanya.

MasterCard berkata, kajian itu menunjukkan pasaran sedang muncul sudah matang untuk inovasi dan ini menjadi satu daripada faktor pemacu penganjuran Forum Inovasi MasterCard di Kuala Lumpur mulai 29 hingga 30 September ini.