Donnarumma penjaga gol paling muda Serie A

Donnarumma penjaga gol paling muda Serie A

MILAN, 26 Okt (Agensi) – Pemain remaja AC Milan, Gianluigi Donnarumma menjadi penjaga gol paling muda bersaing dalam perlawanan Serie A semalam apabila membuat kemunculannya bagi kelab itu pada usia 16 tahun, 8 bulan dan 6 hari.

Jurulatih Milan, Sinisa Mihajlovic memilih Donnarumma berbanding Diego Lopez yang lebih berpengalaman dan pasukannya menewaskan Sassuolo 2-1.

“Saya tidak melihat usia tetapi hanya dia bagus atau tidak,” kata Mihajlovic. “Ia tidak seharusnya menjadi drama.”

Donnarumma dikalahkan menerusi sepakan bebas dari Doemnico Berardi yang menjadikan kedudukan seri 1-1 pada minit ke-53, tetapi Luiz Adriano menjaringkan gol lewat untuk memberikan kemenangan kepada Milan.

Gambar dirakam pada 25 Oktober 2015 menunjukkan Gianluigi Donnarumma membaling bola pada perlawanan Serie A, AC Milan menentang Sassuolo di Stadium Milan San di Itali. – Agensi
Gambar dirakam pada 25 Oktober 2015 menunjukkan Gianluigi Donnarumma membaling bola pada perlawanan Serie A, AC Milan menentang Sassuolo di Stadium Milan San di Itali. – Agensi

Penjaga gol termuda untuk beraksi bagi Milan dalam liga adalah Giuseppe Sacchi, yang diturunkan dari bangku simpanan pada usia 16 tahun, 7 bulan, 24 hari dalam kekalahan 3-1 kepada Fiorentina — 73 tahun lalu pada hari perlawanan. Ia adalah satu-satunya perlawanan rasminya bagi Milan.

Gianluca Pacchiarotti memegang rekod penjaga gol paling muda dalam Serie A selepas beraksi pada 10 minit terakhir bagi pasukan Pescara dalam kekalahan 1-0 di Perugia pada 9 Mac 1980. Dia berusia 16 tahun, 6 bulan, 16 hari. Penjaga gol Itali dan Juventus, Gianluigi Buffon beraksi pada usia 17 tahun apabila membuat kemunculannya bagi Parma.