Donnarumma selamatkan Milan

Donnarumma selamatkan Milan

MILAN, 22 April – Penjaga gol muda, Gianluigi Donnarumma menyelamatkan AC Milan daripada dimalukan apabila menepis percubaan terakhir Carpi seterusnya mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam saingan Serie A, semalam.

Kemenangan ke atas pendatang baharu liga itu seharusnya membolehkan Milan merapatkan jurang kepada empat mata dengan penghuni tangga kelima, Fiorentina dan kekal bersaing bagi slot ke Liga Europa.

Milan gagal memecahkan kebuntuan apabila tidak berupaya menyempurnakan beberapa peluang terbaik bagi menjaringkan gol dan Donnarumma mempamerkan aksi cemerlang dengan menggagalkan percubaan Marco Crimi yang melakukan sepakan lencong terus ke bahagian kiri gawang di lewat babak perlawanan bagi membolehkan kelab itu mengutip satu mata.

Diraikan ketika Milan mencatat kemenangan pertama di bawah kendaliannya, jurulatih baharu, Cristian Brocchi kehilangan mata pertama sejak menggantikan tempat Sinisa Mihajlovic, dua minggu lalu – dan penyokong lantas menunjukkan reaksi dengan bersiul di luar padang dekat San Siro.

Milan kekal di tangga keenam, 29 mata di belakang pendahulu yang hanya menunggu masa bagi bergelar juara, Juventus. Juventus menang 3-0 ke atas Lazio, kelmarin bagi mengekalkan kelebihan sembilan mata di depan Napoli berbaki empat perlawanan. – AFP

Pemain AC Milan, Giacomo Bonaventura (tengah) cuba mengatasi pemain Carpi, Simone Romagnoli (kiri) dan Cristian Zaccardo dalam aksi Serie A di stadium San Siro, Milan kelmarin. – AP
Pemain AC Milan, Giacomo Bonaventura (tengah) cuba mengatasi pemain Carpi, Simone Romagnoli (kiri) dan Cristian Zaccardo dalam aksi Serie A di stadium San Siro, Milan kelmarin. – AP

ARTIKEL YANG SAMA