Doping: Sazali akan hantar rayuan kedua

Doping: Sazali akan hantar rayuan kedua

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Jaguh bina badan negara, Sazali Samad (gambar) bakal mengemukakan rayuan kedua kepada Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) bagi mengurangkan tempoh penggantungan daripada empat tahun kepada dua tahun.

Juara Mr Universe 10 kali itu digantung empat tahun selepas gagal dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 Sept tahun lepas.Sazali melalui Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyerahkan surat sokongan kepada PBBM pada Mac tahun ini.

Peguam Sazali, Mohd Norasmawi Norani berkata rayuan kedua ini akan mendapat sokongan penuh penaung Akademi Sazali Samad, Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi dan Penasihat akademi, Tan Sri Ismail Omar.

“Kami juga akan cuba mendapatkan sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam rayuan kedua yang akan diserahkan kepada PBBM nanti dengan harapan tempoh hukuman dapat dipendekkan kepada satu tahun lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Norasmawi berkata rayuan pertama adalah mengikut prosedur yang betul seperti yang ditetapkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA). – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA