Dorong anak hadir ke sekolah

Dorong anak hadir ke sekolah

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 15 Feb – Sebagai usaha memberigakan Akta Pendidikan Wajib serta memberikan pendedahan mengenai tugas dan tanggungjawab ibu bapa kepada pendidikan anak-anak mereka, Majlis Ceramah Motivasi dan Taklimat Pendidikan Wajib diadakan bagi murid-murid yang belajar di Mukim Sukang dan Mukim Melilas.

Majlis tersebut yang juga sebagai usaha dorongan dan rangsangan kepada pelajar-pelajar khususnya di kawasan terpencil di pedalaman supaya sama-sama cenderung untuk hadir ke sekolah.

Dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Sukang melalui Biro Pendidikan, majlis turut bertujuan untuk memberikan gambaran mengenai kesan jika pelajar-pelajar tidak hadir ke sekolah, di samping mengukuhkan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah serta sebagai pemangkin dan penyokong kehadiran pelajar ke sekolah.

Taklimat dan ceramah motivasi pada majlis itu telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Sekolah-sekolah selaku Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Haji Ali Yusri turut menyaksikan pameran mini yang diadakan pada majlis tersebut.
Haji Ali Yusri turut menyaksikan pameran mini yang diadakan pada majlis tersebut.
Antara yang menghadiri Majlis Ceramah Motivasi dan Taklimat Pendidikan Wajib yang diadakan di Sekolah Rendah Sukang, Ulu Labi.
Antara yang menghadiri Majlis Ceramah Motivasi dan Taklimat Pendidikan Wajib yang diadakan di Sekolah Rendah Sukang, Ulu Labi.

Dalam ceramahnya, Haji Ali Yusri menyarankan ibu bapa supaya sentiasa memastikan anak-anak mereka hadir ke sekolah pada hari-hari persekolahan dan juga memastikan mereka mendapat pendidikan secukupnya dari Tahun 1 hingga Tahun 11.

Beliau turut berpesan supaya ibu bapa sentiasa menyayangi anak-anak dengan menunjukkan kasih sayang dan menghindari mereka daripada gejala-gejala yang kurang sihat yang menyebabkan mereka terjebak ke dalam kancah yang berbahaya.

Sesi soal jawab mengakhiri majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib; Pemangku Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohd Noh bin Datu Maharaja Setia Dian; Penasihat Majlis Perundingan Mukim Sukang, Awang Johari bin Datu Maharaja Setia Dian; Guru Besar Sekolah Rendah Sukang, Hajah Rosnah binti Datu Maharaja Setia Haji Mohd Simpok; ketua-ketua rumah panjang dan para penduduk di Mukim Sukang.

ARTIKEL YANG SAMA