Dorong anak tempatan ceburi sektor swasta

Dorong anak tempatan ceburi sektor swasta

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Nov – Kepercayaan dan motivasi oleh pihak pengurusan menjadi penyuntik semangat dan keyakinan kepada anak-anak tempatan untuk menyertai dan meneruskan karier mereka dalam sektor swasta, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pusat membeli-belah KBSentral di Kampung Mumong A, Kuala Belait hari ini, beliau turut menyuarakan rasa gembira akan keramaian pekerja-pekerja warga tempatan yang bekerja di KBSentral dalam pelbagai jawatan.

“Semasa lawatan ke kedai-kedai dan restoran-restoran serta hotel yang berada di bawah satu bumbung KBSentral dan setelah bercakap seketika dengan anak-anak tempatan ini saya percaya mereka mempunyai kebolehan untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan di sektor swasta.

“Dengan diberikan kepercayaan dan motivasi oleh pihak pengurusan KBSentral di sini, saya percaya mereka akan dapat dididik semangat serta disuntik keyakinan yang tinggi untuk melakukan pekerjaan dan karier di sektor swasta jika mereka diberi peluang untuk memajukan diri mereka di sini.”

Yang Berhormat Pehin beramah mesra dengan pekerja tempatan selepas merasmikan pembukaan KBSentral, Kuala Belait kelmarin.
Yang Berhormat Pehin beramah mesra dengan pekerja tempatan selepas merasmikan pembukaan KBSentral, Kuala Belait kelmarin.

Yang Berhormat Pehin menambah, dari sini akan dapat dijadikan sebagai bukti dan dorongan untuk menarik lebih ramai lagi anak-anak muda tempatan ‘kitani’ agar mengubah sikap mereka dan memilih pekerjaan-pekerjaan di sektor swasta dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan di sektor kerajaan sahaja.

Beliau juga gembira dengan pencapaian KBSentral mencapai objektif 80 peratus pengambilan pekerja-pekerja tempatan dan berharap agar lebih ramai lagi anak-anak tempatan yang belum mempunyai pekerjaan untuk mencari peluang pekerjaan bukan saja di KBSental malah di syarikat-syarikat lain di sektor swasta.

Yang Behormat Pehin juga berkata, dengan adanya pusat membeli-belah dan hotel KBSentral ini akan memudahkan lagi masyarakat dan penduduk di Daerah Belait untuk membeli-belah, menikmati perkhidmatan yang disediakan dan membantu ekonomi tempatan serta mendorong orang ramai agar melancong dan beriadah di sini, khususnya menjelang cuti sekolah ini.

ARTIKEL YANG SAMA