Dorong generasi muda mencintai Al-Quran

Dorong generasi muda mencintai Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

MAJLIS Khatam Al-Quran Program 1 Minggu 1 Juzuk bagi murid sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei II tahun 2016 berlangsung baru-baru ini di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong yang mana telah disertai oleh seramai 412 orang pelajar iaitu 198 orang pelajar lelaki dan 214 pelajar perempuan.

Para peserta yang diraikan adalah terdiri daripada 16 buah sekolah agama kawasan Brunei III, mereka adalah pelajar-pelajar daripada Darjah Pra hingga Darjah V yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran di dalam masa yang disasarkan melalui Program 1 Minggu 1 Juzuk.

Program berkenaan dihasratkan akan dapat menjana generasi muda yang mencintai Al-Quran dan menghayati ajaran Al-Quran ujar Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei II, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, selaku Timbalan Pengerusi Bersama Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis pada petang itu bukan saja bertujuan meraikan kejayaan para pelajar yang telah mengkhatamkan 30 Juzuk Al-Quran, malah majlis ini diharapkan akan dapat dijadikan motivasi kepada pelajar lainnya dalam mendalami pembelajaran Al-Quran.

Nilai Islam

Perkara ini sejajar dengan matlamat Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’ dengan menerapkan nilai-nilai teras iaitu berpegang teguh kepada nilai Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berpandukan Mazhab Shafiee serta berpaksikan Konsep Melayu Islam Beraja.

Seramai lebih 400 orang pelajar berjaya mengkhatam bacaan Al-Quran.
Seramai lebih 400 orang pelajar berjaya mengkhatam bacaan Al-Quran.

Menurut beliau lagi, Program ini telah dilaksanakan di 143 buah sekolah agama di seluruh negara bagi memantapkan lagi pembacaan Al-Quran dan meningkatkan lagi jumlah para murid yang khatam Al-Quran di bawah Umur 10 tahun. Program berkenaan telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pihak ibu bapa yang memberikan sokongan sejak ia lancarkan pada awal bulan Februari 2016 yang lalu.

Perlaksanaan program ini telah dijalankan di sekolah-sekolah agama seluruh negara secara thalaaqi dan berakhir pada bulan Ogos 2016 yang lalu.

Seramai 6508 murid telah menyertai program ini terdiri daripada para murid Darjah Pra hingga VI sekolah agama seluruh negara.

Para peserta program kawasan Brunei III adalah jumlah bilangan peserta program yang paling ramai menyertai program ini, iaitu 1420 murid manakala peserta dari Darjah VI adalah jumlah peserta yang paling ramai menyertai program ini iaitu 2058 murid.

Manakala seramai 1823 murid dari Darjah Pra hingga III yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 10 tahun ke bawah telah menyertai program ini.

Terdahulu, Majlis Khatam AL-Quran dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat Majlis, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Seterusnya bacaan ayat-ayat lazim bermula dengan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas dari para peserta khatam dan seterusnya bacaan Takhtim dari guru-guru agama perempuan kawasan Brunei III.

Bacaan Doa Khatam pula dibacakan oleh wakil murid yang dikhatamkan, Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin. Majlis juga dimeriahkan dengan penyampaian sijil khatam dan merenjis minyak wangi disempurnakan oleh tetamu kehormat dan Datin kepada para peserta.

ARTIKEL YANG SAMA