Dortmund, Bayern final Piala Jerman

Dortmund, Bayern final Piala Jerman

BERLIN, 21 April – Borussia Dortmund akan berdepan Bayern Munich dalam aksi final Piala Jerman pada 21 Mei depan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Hertha Berlin dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Gol pertama menerusi Gonzalo Castro pada babak pertama termasuk dua gol daripada Marco Reus dan Henrikh Mkhitaryan di lewat babak kedua memastikan kemenangan bergaya Dortmund di Stadium Olimpik Berlin.

Kemenangan itu membawa skuad bimbingan Thomas Tuchel untuk beraksi di venue yang sama bagi aksi final dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Saya sangat gembira dengan corak kemenangan malam ini,” kata Tuchel ketika pasukannya cuba melupakan kekecewaan tersingkir dari Liga Europa selepas tewas 4-3 kepada Liverpool.

“Saya perlu mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada pasukan. Kami berhak menang perlawanan ini,” tambah Tuchel lagi.

Marco Reus meraikan gol kedua Dortmund semasa menentang Hertha pada perlawanan Piala Jerman di Berlin kelmarin. – AP
Marco Reus meraikan gol kedua Dortmund semasa menentang Hertha pada perlawanan Piala Jerman di Berlin kelmarin. – AP

Kemenangan 2-0 Bayern ke atas Werder Bremen menyaksikan dua pasukan utama Jerman akan kembali membuat perhitungan selepas kedua-dua pasukan beraksi pada final 2012 dan 2014.

Dortmund sebelum perlawanan dengan Hertha menerima tamparan apabila penjaring terbanyak mereka, Pierre-Emerick Aubameyang terpaksa diketepikan susulan masalah kecederaan.

Tuchel sebelum itu berkata, penyerang antarabangsa Gabon itu yang meledak 37 gol dalam semua kejohanan boleh beraksi biarpun mengalami kecederaan itu pada lima minit terakhir sesi latihan, Isnin lalu.

Tempat Aubameyang digantikan dengan penyerang Colombia, Adrian Ramos yang meledak dua gol ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Hamburg dalam aksi Bundesliga, Ahad lalu. – AFP