Dortmund benam Spurs 3-0

Dortmund benam Spurs 3-0

PARIS, 11 Mac (AFP) – Borussia Dortmund kini hanya tinggal selangkah saja lagi untuk menempah tiket ke suku akhir Liga Europa selepas membenam Tottenham Hotspur 3-0 dalam pertembungan timbal balik pertama 16 pasukan terbaik, awal pagi tadi.

Pierre-Emerick Aubameyang meletakkan pasukan Bundesliga itu di hadapan pada babak pertama dan Marco Reus meledak dua jaringan pada babak kedua di Signal Iduna Park, sekali gus memaksa Spurs memerah sepenuh keringat pada timbal balik kedua di utara London, minggu depan.

Ini adalah pertembungan antara penghuni tangga kedua di Jerman dan Liga Perdana Inggeris, dan walaupun Tottenham berdepan peluang sama rata dengan lawannya, keputusan jurulatih Mauricio Pochettino untuk mengubah skuadnya jelas sama sekali tidak membantu.

Dengan mengendali perlawanan ke-100 dirinya pada perlawanan itu, Pochettino melakukan tujuh pertukaran dalam pasukan yang terikat 2-2 dengan Arsenal minggu lalu, menyaksikan Harry Kane, Kyle Walker, Erik Lamela dan Mousa Dembele berada di bangku simpanan manakala Dele Alli pula sedang menerima penggantungan.

Marco (tengah) meraikan jaringan selepas Emerick membolosi gawang Hotspur bagi gol pertama mereka. Dortmund kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk mara ke suku akhir setelah membenam Hotspur 3-0. – Reuters
Marco (tengah) meraikan jaringan selepas Emerick membolosi gawang Hotspur bagi gol pertama mereka. Dortmund kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk mara ke suku akhir setelah membenam Hotspur 3-0. – Reuters

Pemain muda, Joshua Onomah adalah antara pemain yang berada dalam kesebelasan utama berdepan Dortmund tatkala Ilkay Gundogan terlepas aksi perlawanan kerana kecederaan kaki.

Barisan Thomas Tuchel ketinggalan lima mata di belakang Bayern Munich yang mendahului carta Bundesliga, jurang mata yang hampir sama membezakan kedudukan Spurs dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester City.

Dalam perkembangan lain, Sevilla terikat tanpa jaringan di Basel dan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya, Steven N’Zonzi diarah keluar padang. Juara Piala UEFA 2009, Shakhtar Donetsk berada di landasan tepat apabila menewaskan Anderlecht 3-1 di Ukraine.

Taison dan Olexandr Kucher masing-masing meledak gol pada babak pertama buat Shakhtar dan Eduardo menambah gol ketiga pasukan pada lewat waktu permainan selepas Frank Acheampong menjaringkan gol sagu hati buat pasukan dari Belgium itu.

ARTIKEL YANG SAMA