Dortmund beri kejutan kepada Bayern

Dortmund beri kejutan kepada Bayern

BERLIN, 20 Nov – Borussia Dortmund mengejutkan juara bertahan, Bayern Munich 1-0 awal pagi tadi pada perlawanan yang dipenuhi insiden kekasaran sekali gus membolehkan RB Leipzig mencipta kejutan memimpin takhta Bundesliga.

Gol daripada penyerang berbisa, Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-11 pertembungan di Signal Iduna Park berkenaan sudah cukup menghadiahkan tiga mata buat Dortmund namun lebih penting memberi kekalahan pertama buat Bayern musim ini.

Kekalahan menyaksikan RB Leipzig menghuni tangga teratas liga, kekal tanpa kalah dan mempunyai kelebihan tiga mata di depan Bayern selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Bayer Leverkusen, Jumaat lalu.

Aubameyang sepatutnya boleh menambah dua lagi gol selepas jaringan tunggalnya hadir menerusi hantaran bekas pemain Bayern, Mario Goetze dan disambut dengan gaya tersendiri.

Bos Dortmund, Thomas Tuchel mengakui ia pertembungan yang menyakitkan. “Kami banyak menderita,” katanya.

“Namun apabila kamu memasuki gelanggang bersama Bayern, kami tidak boleh menjangkakan untuk keluar tanpa mata yang lebam.” Kapten Bayern, Philipp Lahm mengakui peminat yang neutral pasti gembira untuk melihat kelab lain selain Bavarians berada di puncak liga.

“Ia baik untuk Bundesliga, ia adalah apa yang seluruh dunia mahukan,” katanya.

Perlawanan berlangsung panas sejak minit pertama dengan Dortmund memberikan beberapa sepakan percuma ke atas Bayern yang menyukarkan tugas pengadil, Tobias Stieler. Stieler kemudian memberi amaran kepada Tuchel selepas bantahannya disebabkan terjahan pemainnya, Marc Bartra terhadap penyerang Bayern, Thomas Mueller yang menyebabkannya dilayangkan kad kuning.

Bartra kemudian sekali lagi melakukan kekasaran ke atas Robert Lewandowski namun terselamat selepas Stieler memutuskan tidak mengeluarkan kadnya. – AFP