Dortmund cipta rekod, tewaskan Frankfurt

Dortmund cipta rekod, tewaskan Frankfurt

BERLIN, 14 Dis (AFP) – Borussia Dortmund mencipta rekod baharu kelab ketika menewaskan Eintracht Frankfurt yang bermain 10 orang 4-1 awal pagi tadi ketika penjaring terbanyak Bundesliga, Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat gol ke-18 dalam 16 perlawanan.

Kemenangan Dortmund yang menduduki tempat kedua liga memberikan mereka rekod kemenangan ketujuh dan satu seri di laman sendiri, permulaan terbaik musim ini, ketika skuad kendalian Thomas Tuchel bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasukan bergelut Frankfurt.

Eintracht mendahului apabila kapten Alexander Meier menjaringkan gol selepas serangan balas pantas pada minit ketujuh sebelum Henrikh Mkhitaryan menyamakan kedudukan buat Dortmund pada minit ke-24.

Frankfurt bermain 10 orang apabila pemain tengah Slobodan Medojevic dibuang padang kerana mengasari Gonzalo Castro dalam kotak penalti pada minit ke-44, namun Aubameyang menyepak liar ketika mereka berkedudukan 1-1 pada babak pertama.

Aubameyang membalas kesilapan awalnya dengan menyempurnakan hantaran Shinji Kagawa pada minit ke-57 manakala kapten Dortmund, Mats Hummels menjadikan 3-1 dengan sepakan jarak jauh empat minit kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA