Dortmund nafi Aubameyang sertai kelab China

Dortmund nafi Aubameyang sertai kelab China

BERLIN, 5 Jan – Borussia Dortmund menafikan laporan ‘hipotetikal’ yang mengatakan penyerang bintang kelab itu, Pierre-Emerick Aubameyang (gambar) berkemungkinan menuju ke kelab kaya raya China, Shanghai SIPG dengan rekod perpindahan 150 juta euro.

“Borussia Dortmund tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara ini dan kami tidak bimbang dengan perkara hipotetikal (belum dibuktikan kebenaran),” kata jurucakap kelab itu, Sascha Fligge kepada agensi berita Jerman, DPA.

Awal pagi semalam, wartawan Itali dari Gazzetta dello Sport mengeluarkan Tweet: “Boom! Aubameyang menerima tawaran 41 juta euro setahun dari Shanghai dan 150 juta euro untuk Borussia Dortmund. Kedua-duanya akan menjadi rekod dunia.”

Ahkbar harian Jerman Bild yang kebiasaannya mempunyai maklumat baik membabitkan laporan perpindahan memaparkan kembali Tweet itu sekali pun media Itali terbabit satu-satunya sumber terhadap spekulasi itu.

Shanghai SIPG sudah mendapatkan bintang Brazil, Oscar dengan nilai 60 juta euro bagi jendela perpindahan ketika ini.

Selain itu, bekas penyerang Manchester United dan Manchester City, Carlos Tevez minggu lalu turut mengubah haluan ke China selepas menandatangani kontrak lumayan bersama Shanghai Shenhua dengan laporan 38 juta euro setahun.

Aubameyang, 27, yang juga penyerang kebangsaan Gabon adalah Pemain Terbaik Afrika 2015 dan sudah menjaringkan 16 gol dalam 15 penampilan Bundesliga musim ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA