Dortmund pesta gol

Dortmund pesta gol

BERLIN, 21 Sept – Pierre-Emerick Aubameyang meledak dua gol awal pagi tadi ketika Borussia Dortmund sekali lagi mencipta kemenangan besar 5-1 apabila mengunjungi VfL Wolfsburg sekali gus mengungguli Bundesliga Jerman.

Selepas membelasah Legia Warsaw dan Darmstadt 6-0 dalam perlawanan sebelum ini, skuad kendalian Thomas Tuchel itu melakukannya sekali lagi dengan Gonzalo Castro membantu dua daripada jaringan berkenaan.

“Walaupun mendahului 2-0 pada awal permainan, kami menerima banyak ancaman, tapi kami mendapat cengkaman dan mengambil peluang,” kata Tuchel.

“Ia keputusan yang sukar dipercayai, selepas kami berusaha keras mendapatkannya, dan kami sangat gembira.”

Kemenangan itu memberikan Dortmund jaringan terbanyak, dengan sembilan mata daripada keseluruhan 12, namun mereka akan boleh kehilangan kedudukan itu awal pagi esok apabila Bayern Munich menanti kehadiran Hertha Berlin.

Pasukan Borrusia Dortmund meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP
Pasukan Borrusia Dortmund meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP

Satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus itu akan bertemu di Allianz Arena, Munich ketika Hertha cuba mengejar kemenangan pertama di Bavaria sejak 1977.

Ia adalah satu malam yang buruk bagi Wolfsburg, yang hanya menang sekali dalam empat perlawanan setakat ini, dan Mario Gomez yang baru dibeli.

Penyerang Jerman itu setakat ini belum memberikan sebarang gol sejak berpindah dari Fiorentina dan segala serangannya sering ditepis oleh penjaga gawang Dortmund Roman Burki dalam perlawanan itu.

“Penyudahan peluang-peluang jaringan kami begitu teruk, kami mempunyai lima peluang terbaik dalam separuh masa pertama,” Gomez memberitahu Sky.

“Saya di sini untuk menjaringkan gol dan fakta ia tidak menjadi lagi membuatkan saya bersalah kepada para peminat.”

Dortmund hanya memerlukan empat minit untuk berada di depan di Arena Volkswagen apabila pemain pertahanan Marc Barthra mengumpan baik bola ke pertahanan Wolfsburg yang kemudian disambut baik oleh Raphael Guerreiro diikuti ledakan ke tepi tiang gol.

Dortmund menggandakan pendahuluan mereka pada minit ke-17 apabila Aubameyang menendang bola melepasi penjaga gawang Koen Casteels.

Namun Wolfsburg cuba melakukan persaingan ke dalam perlawanan.

Burki menepis sepakan percuma Ricardo Rodriguez dengan masa menghampiri penamat separuh masa dan kemudian desakan Wolfsburg berhasil sejurus selepas waktu rehat.

Sejurus selepas percubaan Gomez ditepis oleh Burki, Daniel Didavi berjaya menemui hantaran lintang Paul Seguin dan meledak gol ke tepi tiang pada minit ke-53.

Namun Dortmund menemui jaringan ketiga mereka lima minit kemudian apabila Castro menarik dua pemain pertahanan dari posisi mereka untuk memberikan laluan mudah kepada Ousmane Dembele menjaringkan gol.

Castro kemudian membuat larian ke kawasan lawan dan memberi umpanan kepada Aubameyang, yang menendang rembatannya ke hujung tiang pada minit ke-62 bagi jaringan keempat, sebelum Lukasz Piszczek menambah jaringan kelima Dortmund dengan tandukan kencang.

Terdapat detik-detik mencemaskan sebelum perlawanan bermula di Wolfsbrug disebabkan satu pengumuman memberitahu para penyokong dan pemain untuk meninggalkan stadium, namun ia satu amaran palsu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA