Dortmund pesta gol

Dortmund pesta gol

DORTMUND, 23 Nov – Kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund membelasah Legia Warsaw 8-4 sekali gus memperbaharui rekod jaringan terbanyak dalam perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Rekod itu dilakar pada masa kecederaan apabila Marco Reus – yang sebelum itu meledak dua gol, melepaskan rembatan yang menerjah ke gawang gol selepas terkena kapten Legia, Jakub Rzezniczak.

Rekod 12 gol itu lebih satu jaringan daripada jumlah keseluruhan yang sebelum ini tercipta ketika Monaco menewaskan Deportivo La Coruna 8-3 pada 5 November 2003.

Dalam dua perlawanan antara dua pasukan itu, Dortmund sudah meledak 14 gol keseluruhan dengan memenangi aksi pertama 6-0.

Juara Kumpulan F akan ditentukan pada aksi terakhir apabila Dortmund berkunjung ke Real Madrid. Kedua-dua pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.

Pasukan Borussia Dortmund meraikan kemenangan mereka setelah membelasah Legia Warsaw 8-4. – AFP
Pasukan Borussia Dortmund meraikan kemenangan mereka setelah membelasah Legia Warsaw 8-4. – AFP

Dortmund kini mengumpul 13 mata manakala Real Madrid 11.

Jurulatih Dortmund, Thomas Tuchel melakukan sembilan pertukaran dalam pasukan yang sebelum itu menewaskan Bayern Munich, hujung minggu lalu manakala kapten Reus, membuat penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan pangkal paha, Mei lalu.

“Ia adalah bagaimana kamu memikirkan mengenai penampilan semula selepas sekian lama. Saya sudah sihat sekarang ini, amat hebat apabila dapat bermain dari awal,” kata Reus.

“Namun ia sedikit sukar. Saya sudah lama tidak bermain.”

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, jurulatih Tuchel berkata: “Ia amat menarik buat Reus, saya sangat gembira.

“Saya tidak pernah berdepan perlawanan seperti ini, jadi saya tidak tahu bagaimana untuk membuat analisa awal.

“Kami meraih kemenangan yang mutlak tetapi saya tidak tahu apa yang harus diperkatakan.” – AP