Dortmund sedia lepaskan Hummels

Dortmund sedia lepaskan Hummels

BERLIN, 29 April – Kapten Borussia Dortmund, Mats Hummels mengumumkan hasratnya untuk berpindah ke Bayern Munich, dengan kelabnya sekarang sanggup melepaskan pemain pertahanan itu di bawah syarat-syarat tertentu.

“Mats Hummels sudah menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini dan menyertai Bayern Munich musim depan,” kata Dortmund dalam satu kenyataan.

Dortmund berkata, bahawa tidak ada klausa pelepasan dalam kontrak Hummels ataupun untuk mana-mana pemain lain.

Hummels masih mempunyai kontrak di Signal Iduna Park sehingga Jun 2017, tetapi Dortmund membuka pintu untuk perpindahan pemain berusia 27 tahun dengan memberikan tawaran sesuai dengan nilai pemain luar biasa itu.

“Sehingga kini, Bayern tidak membuat apa-apa tawaran,” tambah Dortmund. Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge awal minggu ini berkata, pendahulu Bundesliga itu berada dalam proses rundingan dengan Hummels.

Pengurus Dortmund, Thomas Tuchel (kanan) bercakap kepada Mats Hummels selepas perlawanan pusingan kedua suku akhir Liga Europa menentang Liverpool berakhir di Anfield, 14 April lalu. – AP
Pengurus Dortmund, Thomas Tuchel (kanan) bercakap kepada Mats Hummels selepas perlawanan pusingan kedua suku akhir Liga Europa menentang Liverpool berakhir di Anfield, 14 April lalu. – AP

Bagaimanapun, dia menambah: “Anda perlu menghormati kontrak semasa memandangkan hubungan yang baik kami dengan Borussia Dortmund, kita perlu bertolak ansur.”

Hummels, menjuarai Piala Dunia bersama Jerman pada tahun 2014, memulakan kerjaya di Bayern tetapi berpindah ke Dortmund secara pinjaman pada 2008 sebelum membuat perpindahan kekal pada tahun berikutnya.

Sekiranya dia menandatangani untuk Bayern musim depan, Hummels akan menjadi bintang ketiga Dortmund keluar dari kelab itu untuk ke Munich dalam tempoh tiga tahun selepas Mario Goetze pada tahun 2013 dan Robert Lewandowski pada 2014. – AFP