Dortmund tidak hirau pelaburan China

Dortmund tidak hirau pelaburan China

Borussia Dortmund Annual General Meeting

BERLIN, 11 Ogos – CEO Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke berkata mereka tidak akan terpikat dengan pelaburan China pada masa depan, sementara pesaing dari Bundesliga, Hamburg semalam mengumumkan usaha sama dengan Shanghai SIPG.

“Anda boleh mendapatkan pelabur China seperti yang dilakukan Atletico Madrid. Tetapi kami tidak akan pernah melalui laluan ini,” Watzke memberitahu akhbar mingguan Die Zeit.

“Kami akan melakukannya secara sukar. Dalam mengembangkan diri dalam tempoh 10 tahun seterusnya, kami akan melakukan seperti yang kami lakukan sejak 10 tahun lalu. Sejak 2006, kami meningkatkan jualan kami sekitar 500 peratus.”

Pada April, Forbes meletakkan keuntungan Dortmund pada 231 juta euro (AS$338 juta) dengan pendapatan operasi 44 juta euro, ketika mereka membangunkan status sebagai kelab kedua terbaik Jerman di belakang Bayern Munich.

Keengganan Watzke untuk bersama pelabur asing dan pendekatannya yang berhati-hati bagi pembiayaan secara umum, berlaku selepas dia memainkan peranan utama dalam memulihkan Dortmund daripada hampir muflis pada 2005.

Borussia kembali dalam Liga Juara-Juara musim ini selepas tidak beraksi setahun dan membelanjakan 109.8 juta euro untuk lapan pemain baru bagi musim 2016/17.

Jumlah melepasi 89.5 juta euro yang diperoleh Dortmund dalam penjualan Mats Hummels kepada Bayern Munich, llkay Gundogan kepada Manchester City dan Henrikh Mkhitaryan kepada Manchester United.

Watzke menjelaskan mengapa Dortmund memilih jelajah pra musim China bulan lalu yang melibatkan kemenangan 4-1 ke atas Manchester United di Shanghai.

“Kami mahu berenang bersama ikan besar,” jelasnya. “Jika anda mahu melakukannya, anda perlu mempunyai kehadiran di Asia dan tahun ini kami mendapatkan tawaran berharga di China menentang Manchester United dan Manchester City.

“Sesiapa yang tahu bagaimana pentingnya Liga Perdana di Asia, orang itu akan tahu apa maknanya menang 4-1 ke atas Manchester United.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA