DPMM berkenan melawat Kem Angkatan Tentera Singapura

DPMM berkenan melawat Kem Angkatan Tentera Singapura

SINGAPURA, 1 Dis – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkenan membuat lawatan ke Kem Angkatan Tentera Republik Singapura (SAF), pagi tadi.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Sungei Gedong Camp dijunjung oleh, Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) dan Menteri Pertahanan Kedua Republik Singapura, Ong Ye Kung; Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral Melvyn Ong dan Armour Chief, Brigedier Jeneral Kenneth Liow.

Semasa di kem berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung berangkat ke Bangunan Armour Gunnery and Manoeuvre Simulator (AGMS) dan kemudiannya berkenan mendengarkan sembah taklimat mengenai dengan Armour Simulation Centre (ASC) serta dijunjung berangkat bagi melihat dengan lebih dekat lagi kemudahan yang terdapat di bangunan berkenaan.

Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah daripada Mejar Jeneral Melvyn Ong, dan kemudiannya Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan cenderahati balas kepada Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) dan Menteri Pertahanan Kedua Republik Singapura.

Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia menandatangani buku pelawat dan menemui anggota ABDB yang sedang berkursus di Republik Singapura sebelum berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai.