DPMM dan TPM S’pura adakan riadah Morning Walk

DPMM dan TPM S’pura adakan riadah Morning Walk

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Menteri Koordinasi bagi Keselamatan Nasional Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean, pagi tadi, berkenan mengadakan riadah Morning Walk di Taman Biodiversiti, Taman Rekreasi Hutan Simpanan Berakas.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba, DYTM Pengiran Muda Mahkota dan YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik di Taman Biodiversiti dijunjung oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar; Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Abdul Wahab bin Juned; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian mengalu-alukan ketibaan TYT Teo Chee Hean serta rombongan dan sebelum acara riadah Morning Walk, sesi memanaskan badan turut diadakan kemudian diteruskan dengan riadah berjalan kaki di Taman Biodiversiti yang mempunyai pelbagai spesies dan jenis pokok serta tumbuhan unik yang terdapat di Negara Brunei Darussalam.

Duli Yang Teramat Mulia dan TYT Teo kemudian berkenan menanam sepohon pokok Selunsor di kawasan yang disediakan di Taman Biodiversiti sempena memperingati acara riadah berkenaan. Sepanjang acara riadah berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia dan TYT Teo diberikan sembah taklimat mengenai pelbagai jenis spesies pokok dan tumbuhan yang terdapat di Taman Biodiversiti berkenaan oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama.

DYTM Pengiran Muda Mahkota dan TYT Teo berkenan menanam Pokok Selunsor.
DYTM Pengiran Muda Mahkota dan TYT Teo berkenan menanam Pokok Selunsor.
Sesi memanaskan badan sebelum riadah berjalan kaki di Taman Biodiversiti.
Sesi memanaskan badan sebelum riadah berjalan kaki di Taman Biodiversiti.
DYTM Pengiran Muda Mahkota dan TYT Teo berkenan bergambar-ramai dengan para peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Brunei-Singapura 2015.
DYTM Pengiran Muda Mahkota dan TYT Teo berkenan bergambar-ramai dengan para peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Brunei-Singapura 2015.

pg03_151007_b

Duli Yang Teramat Mulia dan TYT Teo juga berpeluang untuk melawat dan menyaksikan kegiatan yang dijalankan oleh pelajar-pelajar yang menyertai Kem Jati Diri 2015 iaitu salah satu kegiatan di bawah Program Meningkatkan Prestasi Pencapaian Penuntut (MP3).

Kem yang diadakan selama tiga hari iaitu pada 2,4 dan 6 Oktober itu disertai oleh seramai 102 orang pelajar dari Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam dan Sekolah Sukan.

Kem itu merupakan salah satu kegiatan bagi Program MP3 yang dianjurkan oleh Unit Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan peratus penuntut yang mendapat lima kredit dan ke atas dalam Peperiksaan GCE ‘O’ Level.

Duli Yang Teramat Mulia dan TYT Teo, semasa acara riadah berkenaan, juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan peserta-peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Brunei-Singapura (SBYLEP 2015) yang terdiri daripada 30 orang pemimpin belia iaitu 14 dari Republik Singapura dan 16 dari Negara Brunei Darussalam.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia dan TYT Teo berangkat bagi majlis santap pagi.

Taman Hutan Simpanan Berakas merupakan sebuah hutan yang sebahagian besarnya terdiri daripada hutan Kerangas dan mempunyai pelbagai spesies pokok yang unik dan menarik termasuk Ru Runang, Sindok-sindok dan Selunsor.

Salah satu tarikan taman itu adalah lokasinya yang bersebelahan dengan pantai dan ia terletak kira-kira 18 kilometer dari ibu negara serta merupakan kawasan hutan simpan.

Keluasan taman berkenaan ialah kira-kira 348 hektar dan dibuka secara rasmi pada 1994. Taman yang amat popular dalam kalangan pengunjung itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam termasuk tandas awam, taman permainan dan pondok-pondok riadah.

ARTIKEL YANG SAMA