DPMM FC akur, kalah tipis

DPMM FC akur, kalah tipis

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Hasrat pasukan bola sepak elit negara, DPMM FC, untuk memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri berkecai apabila gawang yang dikawal rapi oleh Wardun Yussof akhirnya berjaya dibolosi jaringan tunggal Tampines Rovers.

Dengan kekalahan itu, DPMM FC yang telah bermain 24 perlawanan kekal di tangga teratas Liga Singapura dengan 46 mata sementara tangga kedua dikongsi oleh masing-masing oleh Tampines Rovers dengan 40 mata setelah bermain 22 perlawanan dan Balestier Khalsa yang telah bermain 24 perlawanan.

Gol tunggal Tampines Rovers dicipta pada minit 74 oleh penyerang, Mateo Roskam yang membuat rembatan leret ke sebelah kiri gawang setelah menerima hantaran lintang daripada Rodrigo Tosi.

Apa pun, pujian harus diberikan kepada Wardun Yussof yang cemerlang mengawal gawang daripada dibolosi lebih banyak cubaan gol oleh Tampines Rovers terutama pada babak kedua perlawanan yang menyaksikan serangan bertali arus ke kubu DPMM FC oleh pemain lawan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, itu juga menyaksikan enam kad kuning dilayangkan masing-masing tiga kepada DPMM FC dan tiga kepada Tampines Rovers sementara satu kad merah diberikan kepada pemain tengah pelawat, Naim Rahimi pada minit 81 perlawanan.

DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bola sepak Liga S antara Pasukan DPMM FC menentang Tampines Rovers di Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang berkesudahan DPMM FC tewas 0-1. Berangkat sama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain. - Gambar Infofoto
DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bola sepak Liga S antara Pasukan DPMM FC menentang Tampines Rovers di Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang berkesudahan DPMM FC tewas 0-1.
Berangkat sama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain. – Gambar Infofoto
Antara aksi menarik perlawanan bola sepak Liga S di antara pasukan Brunei DPMM FC menentang Tampines Rovers FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. – Gambar Infofoto
Antara aksi menarik perlawanan bola sepak Liga S di antara pasukan Brunei DPMM FC menentang Tampines Rovers FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah. – Gambar Infofoto

Hujan lebat yang turun sejurus sebelum perlawanan bermula seolah-olah mempengaruhi corak permainan kedua-dua pasukan yang menunjukkan permainan hambar dan perlahan pada babak pertama tanpa sebarang jaringan gol.

Beberapa serangan DPMM FC yang dirancang gandingan Azwan Ali dan Rafael Ramazotti beberapa kali menggoyahkan kubu pertahanan Tampines Rovers namun, ketiadaan ‘follow-up’ yang mantap daripada rakan pasukan telah mensia-siakan beberapa cubaan bahaya daripada kedua-dua bintang DPMM FC itu.Babak kedua menyaksikan perubahan dalam strategi permainan pasukan pelawat yang memulakan asakan demi asakan ke kubu DPMM FC terutama oleh kombinasi gandingan trio Mateo Roskam, Rodrigo Tosi dan pemain tengah, Roberto Alviz.

Di kala pemain tuan rumah kelihatan hilang fokus dengan serangan demi serangan pelawat, pemain tengah DPMM FC, Azwan Ali mendapat peluang keemasan di minit 60 apabila dia berdepan dengan penjaga gawang lawan, Rodrigo Pacheco, tetapi bertindak gopoh dengan menguis bola hanya beberapa inci dari tiang gol lawan.

Perlawanan pada malam ini juga tidak sunyi dengan beberapa saat tegang apabila berlaku kekasaran di antara pemain kedua-dua pasukan yang mengakibatkan Naim Rahimi dari Tampines Rovers diarahkan keluar padang setelah menerima kad kuning dan sekali lagi pada masa tambahan babak kedua.