DPMM FC B19 belasah Sekolah Sukan B15

DPMM FC B19 belasah Sekolah Sukan B15

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – DPMM FC B19 petang ini dipaksa bekerja keras oleh Sekolah Sukan U15 sebelum berjaya mencatat kemenangan keduanya dalam Kejohanan Bolasepak 4-Penjuru anjuran Sekolah Sukan 2015 dengan jaringan 3-0.

Muhd Na’im bin Haji Tarif memberikan DPMM FC B19 jaringan pertamanya pada mini ke-6 selepas dia berjaya melepaskan dirinya daripada perangkap ofsaid dengan larian sempurna di sayap kiri sebelum mudah menewaskan penjaga gol Sekolah Sukan B15 yang meluru kepadanya dengan sepakan kaki kiri ke sudut kiri gawang lawan.

Empat minit sebelum berakhirnya separuh masa pertama iaitu pada minit ke-31, Muhd Na’im bertukar menjadi ‘arkitek’ jaringan kedua DPMM FC B19 dengan hantaran lambung silang dari sayap kiri yang tepat menuju kepala Abang Nur Hilman bin Abang Nor Hillmy, yang mudah menanduk bola kencang ke bumbung gawang melepasi jangkauan penjaga gol lawan.

Pada perlawanan di Padang Bolasepak Sekolah Sukan berkenaan DPMM FC B19 selesa membawa kelebihan dua gol itu ke separuh masa kedua sambil terus cuba mendapatkan gol tambahan tatkala para pemain Sekolah Sukan B15 terus memberikan saingan sengit, menutup ruang bermain para pemain DPMM FC B19. DPMM FC B19 akhirnya berjaya menambah golnya pada minit ke-51 menerusi jaringan Mohd Haziq Kashful Azim bin Mohd Hasimulabdillah, yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan untuk perlawanan itu selesai pada kedudukan 3-0 memihak DPMM FC B19.

Mohd Haziq Kashful Azim (kiri) menyaksikan bola tandukannya menerjah gawang untuk gol ketiga DPMM FC B19 (merah) pada minit ke-51 perlawanan.
Mohd Haziq Kashful Azim (kiri) menyaksikan bola tandukannya menerjah gawang untuk gol ketiga DPMM FC B19 (merah) pada minit ke-51 perlawanan.

Sekolah Sukan B15 walaupun tidak berjaya menjaringkan sebarang gol tetapi berjaya juga sekali-sekala mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan turut memiliki peluang keemasan untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol tetapi sepakan lemah penyerangnya memudahkan penjaga gol DPMM FC menyelamatkan bola. Pada kejohanan yang masuk ke minggu keduanya hari ini berkenaan, perlawanan pertama petang ini menyaksikan Politeknik Brunei mencatat kemenangan besar 11-0 ke atas Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei B14 untuk kini menerajui carta kejohanan yang hanya disertai empat buah pasukan berkenaan dengan 6 mata.

Walaupun DPMM FC B19 turut mengumpul 6 mata dari dua perlawanan, Politeknik Brunei memiliki jaringan lebih tinggi iaitu 19 jaringan tanpa bolos, sementara DPMM FC B19 memiliki 14 jaringan tanpa bolos.